Kanak-kanak sembilan tahun maut tersepit dalam nahas di Gelang Patah


  • 112
  • Rabu, 26 Okt 2022

Kemalangan melibatkan Toyota Vios dan Avanza mengorbankan seorang kanak-kanak di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa. — JBPM Johor

SEORANG kanak-kanak perempuan maut, manakala dua individu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Ismail Sultan, East Ledang, Gelang Patah, Johor pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, mangsa S. K. Chiara Dakhshakanya David, 9, maut akibat tersepit di bahagian tempat duduk belakang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Beliau berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua kereta iaitu Toyota Vios dan Toyota Avanza.

"Terdapat empat mangsa yang berada di dalam kereta Vios dan PKO bertindak mengeluarkan Chiara Dakhshakanya David yang tersepit menggunakan 'Rescue Tools' sebelum dia disahkan meninggal dunia.

"Dua mangsa mengalami cedera parah iaitu N. Rajendran, 45, dan pemandu Toyota Avanza Goh Rong Hao, 22, manakala, B. Patricia Puvaneswary, 45, serta S. K. Cllarissa Mathumitha David, 14, hanya cedera ringan, " katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazran berkata PKO turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor dengan menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Seterusnya, PKO membersihkan tumpahan minyak akibat daripada kemalangan tersebut dengan menggunakan habuk kayu. Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, anggota dan jentera bertolak balik ke balai," katanya.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.44 malam sebelum satu jentera dari BBP Iskandar Puteri dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram