AMERIKA Syarikat, sekali lagi digemparkan dengan dua insiden serangan tembakan pada Khamis.
Serangan tersebut berlaku tidak lama selepas Presiden Joe Biden menyampaikan ucapan utama tentang keganasan senjata api sebagai respons terhadap insiden di Buffalo, New York, Uvalde, Texas dan Tulsa di Oklahoma yang meragut lebih 20 nyawa sejak beberapa minggu lalu.
Menurut polis, dua wanita maut ditembak di kawasan parkir sebuah gereja di Iowa sebelum suspek yang merupakan seorang lelaki menembak mati dirinya sendiri.
Ahli keluarga menenangkan antara satu sama lain selepas tembakan di luar Gereja Cornerstone di Ames, Lowa pada Khamis.
“Insiden itu berlaku di luar Gereja Cornerstone di timur bandar Ames ketika satu program sedang diadakan di rumah ibadat tersebut.
“Kami telah melancarkan siasatan untuk mengetahui motif serangan,” kata Timbalan Ketua Pejabat Syerif Daerah Story, Nicholas Lennie yang tidak memberikan butiran lanjut tentang identiti atau sama ada ketiga-tiganya ada kaitan antara satu sama lain.
Satu lagi kejadian berasingan dilaporkan di tanah perkuburan Graceland di Wisconsin ketika upacara pengebumian Da’Shontay L King Sr yang maut ditembak polis kerana enggan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan kes senjata api pada Mac lalu.
“Beberapa bunyi tembakan kedengaran di kawasan itu pada pukul 2.26 petang (waktu tempatan). Pihak berkuasa masih menyiasat untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa,” ujar Jabatan Polis Racine.
Sementara itu, media tempatan mendakwa lima individu cedera dalam insiden itu dan tiada tangkapan suspek dibuat setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram