MUNGKIN kerana mahu cepat popular dan trending di media sosial, seorang lelaki bertindak 'berani mati' berdiri di pintu masuk gerabak kereta api yang bergerak laju.
Tindakan lelaki itu umpama pelakon lagak aksi tular apabila rakaman perlakuannya pada Isnin lalu di daerah Ludhiana, India dikongsikan melalui akaun Twitter @ghazal67.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan, lelaki tersebut kelihatan berani berdiri di luar kereta api dengan hanya memegang palang di pintu masuk gerabak ketika kereta api sedang bergerak laju.
Dalam kelajuan kereta api di daerah Khana itu, secara tiba-tiba lelaki tersebut terhantuk pada tiang dan menyebabkan dia terpelanting dan jatuh di landasan.
Insiden tragis itu mengakibatkan lelaki itu maut di lokasi kejadian.
Rata-rata komen netizen menganggap malang nasib lelaki itu kerana tiada siapa yang mahu menghalang tindakannya sebaliknya hanya merakam dan membiarkan perlakukan mangsa hingga membawa maut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram