SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) disyaki dibunuh dengan kejam selepas dituduh melakukan amalan syirik oleh saudaranya sendiri.
Ghulam Abbas yang kudung kedua-dua belah lengan dibunuh oleh suspek, Muhammad Hassan dengan cara melemaskannya di sebuah kolam berhampiran kuil di kampung Muhammad Siddique, Mirpur Mathelo, Pakistan.
Polis tempatan menahan suspek selepas satu rakaman video memaparkan tindakan ngeri tersebut tular di sosial baru-baru ini.
Dalam video tersebut, suspek mengaku membunuh mangsa dan dia juga dilihat tanpa belas kasihan membenam kepala lelaki itu di dalam air.
Menurut adik mangsa, Sarfraz Ali, suspek mengugut Ghulam untuk membunuhnya jika dia masih lagi melakukan perbuatan syirik menyembah kubur.
"Pada waktu kejadian, Muhammad Hassan turut menyimbah sebotol minyak petrol kepada Ghulam dan seorang lagi rakan suspek cuba membakar abang saya.
"Namun, abang saya melarikan diri kerana ketakutan tetapi mereka mengejarnya ke kolam di mana dia terjatuh ke dalam air.
"Ghulam dibunuh di kolam tersebut dan kami telah membuat laporan polis berhubung insiden itu," katanya dalam satu laporan media seperti dipetik Voicepk.net.
Tambah Sarfraz Ali lagi, suspek mempunyai hubungan tali persaudaraan dengan keluarganya.
Sementara itu, Pegawai Kanan Polis Ghotk, Tanveer Tunio berkata, kes tersebut masih dalam siasatan polis.
"Kami akan melengkapkan siasatan dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Pada masa sama, pegawai kanan polis itu enggan mendedahkan sebarang butiran sama ada terdapat sebarang bukti ditemui untuk menyokong dakwaan amalan syirik yang dibuat mangsa.
Setakat berita ini ditulis, Muhammad Hassan masih lagi berada dalam tahanan reman polis Mirpur Mathello. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram