Lapan maut akibat banjir terburuk di Korea Selatan


  • Benua
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Pihak berkuasa Seoul menaikkan amaran krisis kepada tahap tertinggi dan meminta pertubuhan awam dan swasta melakukan pelarasan waktu kerja masing-masing. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA lapan orang maut selepas hujan lebat mengakibatkan bekalan elektrik terputus serta jalan raya dan terowong kereta api bawah tanah tenggelam di kawasan metropolitan Seoul, Korea Selatan pada Isnin malam.

Menurut pihak berkuasa tempatan pada Selasa, di bahagian selatan Seoul, Korea Selatan hujan direkodkan lebih 100 milimeter (mm) sejam dengan beberapa kawasan lain di bandar terbabit menerima hujan sebanyak 141.5mm.

Taburan hujan terkumpul di Seoul, Korea Selatan mencecah paras 420mm setakat pukul 5 pagi Selasa, dengan ramalan hujan akan lebih lebat.

Di daerah Gangnam, beberapa bangunan terputus bekalan elektrik dan ditenggelami air manakala kereta, bas dan stesen kereta api bawah tanam ditenggelami air menyebabkan orang ramai terkandas selain beberapa premis seperti kedai juga digenangi air.

Sekurang-kurangnya lima orang maut dan tiga lagi di wilayah Gyeonggi setakat pukul 6 pagi Selasa, yang disahkan ibu pejabat Pusat Pencegahan Bencana dan Keselamatan.

Daripada jumlah itu, empat mangsa maut akibat terperangkap dalam bangunan yang dinaiki air dan seorang lagi terkena renjatan elektrik manakala seorang ditemui mati di bawah serpihan struktur perhentian bas dan seorang lagi terperangkap dalam tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera, sementara enam orang lagi hilang.

Susulan itu, ibu pejabat menaikkan amaran krisis kepada tahap tertinggi dan meminta pertubuhan awam dan swasta melakukan pelarasan waktu kerja masing-masing.

KMA turut mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh ibu negara dan kawasan metropolitan serta sebahagian wilayah Gangwon dan Chungcheong.

Nasihat sedemikian dikeluarkan apabila taburan hujan diramalkan melebihi 60mm dalam tempoh tiga jam atau 110mm dalam 12 jam.

KMA menjangkakan hujan lebat di kawasan tengah negara itu akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga Rabu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Korea Selatan, Banjir, Maut, Hujan