[VIDEO] Leka pilih produk kosmetik, wanita tersungkur dihempap lampu dinding di Times Square


  • Benua
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita cedera dihempap lampu di sebuah kedai kosmetik di pusat beli belah Time Square, Hong Kong.

SEORANG wanita dilaporkan mengalami kecederaan akibat dihempap lampu tiang di sebuah kedai kosmetik di pusat beli belah Times Square, Hong Kong.

Kejadian itu berlaku ketika wanita berkenaan sedang leka melihat beberapa produk kecantikan di premis berkenaan sebelum lampu tersebut menimpa kepalanya.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli belah tersebut, video itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet.

Meskipun lambu berkenaan jatuh tepat di atas kepalanya, wanita itu difahamkan tidak mengalami kecederaan parah akibat daripada hentakan itu.

Masih boleh berdiri dan bangkit selepas kejadian itu, wanita terbabit pantas memeriksa kepalanya untuk memastikan tiada kecederaan ataupun luka dialami.

Selang beberapa minit kemudian, pihak ambulans tiba di lokasi kejadian dan mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Polis dilaporkan sedang menyiasat punca kejadian dan masih belum ada sebarang maklumat dikongsikan setakat ini.

Insiden itu turut mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai terhadap piawaian keselamatan di Hong Kong selepas beberapa siri kemalangan berprofil tinggi melibatkan struktur binaan, kerap berlaku kebelakangan ini.

Untuk rekod, pada Julai lalu, dua penari tercedera dalam konsert akibat sebuah skrin video yang runtuh di tengah pentas Hong Kong Coliseum.

Pada awal September pula, sebuah kren menara runtuh di tapak pembinaan sepanjang Jalan Anderson di daerah Sau Mau Ping dan telah mengakibatkan tiga pekerja terkorban. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram