[VIDEO] Sekolah kerajaan tapi beri murid makan nasi campur garam


  • Benua
  • Khamis, 29 Sep 2022

Tangkap layar video yang memaparkan murid-murid di sebuah sekolah kerajaan di India makan nasi yang dicampur garam. — Agensi

BARU-BARU ini tular di media sosial sebuah video yang memaparkan murid-murid di sebuah sekolah milik kerajaan hanya diberi makan nasi yang dicampur garam di Uttar Pradesh Ayodhya, India.

Malah, menerusi video berdurasi dua minit yang dimuat naik pada Rabu, murid-murid juga dipaksa makan di atas lantai di bawah terik matahari.

"Guru dan ketua kampung tidak mahu bertanggungjawab dan melarikan diri. Jadi siapa yang perlu menjawab mengenai perkara ini?

"Semua boleh nampak yang murid-murid hanya makan nasi yang dicampur garam. Siapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah begini? Ketua Menteri Yogi Adityanath patut lihat video ini," kata individu yang merakam video tersebut.

Lelaki itu kemudian merakam menu yang sepatutnya diberikan kepada semua murid iaitu susu, roti, dal, sayur dan nasi.

"Nasi dicampur garam memang tiada dalam menu. Kenapa mereka diberikan makanan seperti ini?" katanya.

Selepas video itu tular, satu aduan telah dibuat dan guru besar sekolah berkenaan telah digantung tugas atas tindakan itu.

Majistret Daerah, Nitish Kumar berkata, dia juga telah mengarahkan supaya menu yang sepatutnya dimakan semua murid dihantar ke sekolah berkenaan.

"Saya sudah arahkan pegawai untuk lakukan siasatan dan hantar bekalan makanan yang sepatutnya ke sana. Saya juga telah mengarakan guru besar sekolah berkenaan digantung tugas," katanya.

Ini bukan kali pertama video begini tular di media sosial khususnya sekolah di Uttar Pradesh.

Pada 2019, seorang wartawan telah dikenakan tindakan kerana merakam murid-murid di sebuah sekolah kerajaan yang hanya diberikan makan roti dan garam.

Wartawan itu, Pawan Jaiswal kemudian dikenakan tindakan atas dakwaan terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram