Firdaus Wong dijangka jadi saksi kes gangguan seksual Ebit Liew


Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom bagi menghadiri perbicaraan membabitkan kes gangguan seksual yang dihadapinya. — Sinar Harian

PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong dijangka hadir sebagai salah seorang saksi pendakwaan pada hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew pada Khamis.

Sesi perbicaraan hari ketiga kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal itu berjalan di Mahkamah Majistret, Tenom, Sabah.

Selain Firdaus Wong, seorang lagi pegawai polis turut dipanggil pada sesi perbicaraan itu nanti.

Perbicaraan yang memasuki hari ketiga Ebit atau nama sebenar Ebit Erawan Ibrahim, 37, berlangsung sehingga Jumaat.

Setakat ini, saksi pertama pihak pendakwaan ialah seorang konsultan atau penceramah motivasi, Mohd Fairuz Abu, 37, sudah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah sepanjang dua hari perbicaraan itu berlangsung.

Sementara itu, Ebit dilihat tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan memakai baju berwarna biru muda dan berseluar hitam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, Nur Masrin Amalia.

Ebit pula diwakili barisan peguamnya iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram