
KEBIASAANNYA majlis hari jadi akan disambut dengan meriah oleh seisi keluarga mahupun rakan-rakan dengan tiupan lilin kek ataupun majlis makan beramai-ramai.
Namun lain pula kisahnya apabila sekumpulan wanita yang sedang ceria menyambut hari lahir 'ditelan' lantai yang berlubang secara tiba-tiba.
Insiden itu yang berlaku di bandar Alagoinhas, Brazil dilaporkan terjadi susulan perbuatan beberapa wanita yang leka menari dan melompat mengikut rentak lagu popular Portugis 'Tem Cabaré Essa Noite.'
Akibat terlampau leka, kejadian itu langsung tidak disedari mereka apabila permukaan lantai mula merekah dan berlubang tidak lama selepas itu.
Salah seorang mangsa, Epilator Gabriela Carvalho, 38, berkata, mereka berdiri tepat di kawasan lubang terbabit.
“Kami menari betul-betul di atas permukaan lubang tersebut dan jatuh ke dalamnya,” katanya.
Video berkenaan yang dirakamkan oleh anak perempuan Carvalho, turut memaparkan reaksi orang ramai yang terkejut dan menangis di lokasi kejadian.
Namun kesemua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami luka kecil dan lebam sahaja.
Lubang berkenaan kini sedang dalam proses baik pulih oleh pekerja yang ditugaskan supaya insiden itu tidak berulang dan merosakkan sebarang majlis lain lagi selepas ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram