Padah berbahasa kesat, pemilik kedai dipukul polis dengan kayu


  • Benua
  • Ahad, 25 Sep 2022

Walaupun cuba dihalang oleh dua anggota polis yang lain, pegawai itu terus memukul  lelaki berkenaan sehingga batang kayu itu patah

TULAR satu rakaman video Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) membelasah pemilik kedai manisan dengan menggunakan sebatang kayu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Salem Tabri in Ludhiana, India pada Khamis.

Video tersebut memaparkan pegawai polis itu pada mulanya dilihat bercakap dengan kedua-dua orang lelaki tersebut sebelum memukul mereka dengan menggunakan sebatang kayu tanpa belas kasihan.

Walaupun cuba dihalang oleh dua anggota polis yang lain, pegawai itu terus memukul lelaki berkenaan sehingga batang kayu itu patah, lapor The Indian Express.

Difahamkan kejadian itu berlaku akibat salah faham daripada pegawai polis dan pemilik kedai berkenaan.

Kejadian itu berlaku ekoran daripada pemilik premis tersebut enggan bekerjasama dengan anggota polis yang sedang melakuan serbuan pemeriksaan dadah di kawasan tersebut.

Pegawai polis tersebut, Maninder Bedi mengaku menggunakan kekerasan terhadap pengusaha kedai berkenaan kerana lelaki itu tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa dan mengeluarkan kata-kata kesat.

"Saya sedar saya adalah seorang pegawai kerajaan dan tindakan saya itu salah.

"Namun saya tidak boleh bertolak ansur dengan bahasa lelaki itu yang menyinggung perasaan dan maruah saya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram