Video wanita solat di luar wad cetus perbalahan, kecoh dianggap jenayah di tempat awam


  • Benua
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang atendan hospital solat di hadapan wad sebuah hospital. — Agensi

SEORANG wanita yang menjaga saudaranya dikenakan amaran kerana mengerjakan solat di luar wad hospital di Prayagraj, India.

Kejadian berlaku pada Jumaat dan mendapat perhatian pihak hospital selepas video wanita itu solat dirakam sebelum ditularkan di media sosial.

Ketua Perubatan Hospital Tej Baharu Sapru, Dr MK Akhauri berkata, pihaknya sebelum itu telah mengeluarkan amaran keras berkaitan aktiviti keagamaan di wad hospital.

"Kami telah memberi amaran awal dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan dalaman dibuat," katanya.

Dalam pada itu, polis yang mulanya menyiasat video tular itu dan memaklumkan akan mengambil tindakan turut mengeluarkan kenyataan dengan mengesahkan tiada kesalahan jenayah dilakukan wanita itu.

Sementara itu, polis Prayagraj dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah melakukan siasatan terhadap video tular tersebut.

"Hasil siasatan mendapati, wanita itu melakukan solat tanpa sebarang niat yang salah atau menghalang kerja-kerja merawat pesakit.

"Perbuatan ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori jenayah," katanya menjelaskan kenyataan awal berkaitan siasatan yang dijalankan terhadap wanita berkenaan.

Sementara itu, warganet rata-ratanya bersetuju jika wanita itu tidak dikenakan sebarang tindakan kerana dia tidak mengganggu atau membuat kekacauan kepada sesiapa.

Sebaliknya, ramai yang mahu individu yang merakam itu diambil tindakan kerana sengaja menyebarkan sesuatu yang boleh mencetuskan perbalahan di media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram