KEBIASAANNYA masyarakat sering dihidangkan dengan berita kes pukul yang melibatkan kaum wanita sama ada dalam isu penderaan ataupun jenayah ekoran sikap ganas segelintir kaum lelaki.
Namun lain pula ceritanya apabila kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Swami Vivekananda di Raipur, India memaparkan seorang lelaki dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan wanita.
Rakaman itu yang tular di laman media dimuat naik oleh orang awam yang turut berada di lokasi berkenaan.
Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada pertikaian tuntutan wang antara pihak majikan dan juga pekerja apabila gaji lelaki tersebut tertunggak selama dua bulan.
Mangsa yang dikenali sebagai Dinesh dipukul dengan tali pinggang, ditampar serta ditumbuk berulang kali tanpa henti sehingga mengakibatkan bajunya terkoyak.
Bekerja sebagai pemandu teksi di sebuah syarikat pelancongan Rahul Travels, mangsa dikatakan tidak pernah menerima sebarang gaji untuk bulan Mei dan Jun.
Setibanya di pejabat untuk menuntut tunggakan gaji, beberapa pekerja termasuk wanita yang bertugas mula berkelakuan ganas dan bertengkar dengannya.
Sebaik permohonannya untuk berjumpa pengurus ditolak, Dinesh kemudiannya dipukul di khalayak ramai sehingga terpaksa melarikan diri gara-gara terlampau takut.
Susulan kejadian itu, mangsa dan pihak majikan telah membuat laporan polis di bandar Raipur dan Dinesh turut menuntut tindakan keras diambil terhadap pekerja yang mengasarinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram