Wanita 'rompak' duit sendiri demi bayar kos rawatan kanser kakak


  • Benua
  • Khamis, 15 Sep 2022

Wanita itu bertindak menyiarkan secara langsung videonya merompak bank di Facebook.

SEORANG wanita dilaporkan nekad merompak sebuah bank tempatan dengan membawa pistol mainan untuk mengeluarkan wang daripada akaun miliknya sendiri.

Menurut Mirror, suspek terpaksa bertindak sedemikian kerana ingin mengeluarkan RM58,857.50 dari akaun miliknya untuk membayar kos rawatan kanser kakaknya.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Lubnan, yang mana pengeluaran wang adalah terhad antara RM905.50 dan RM1,811 sebulan kerana krisis ekonomi yang membelenggu sejak kebelakangan beberapa tahun ini.

Pada awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa hampir tiga perempat orang di negara Timur Tengah itu kini hidup dalam kemiskinan.

Wanita tersebut difahamkan melompat masuk ke kaunter sebuah bank di Beirut, Lubnan dengan menuntut untuk mengambil wang simpanannya.

Suspek juga dilaporkan dibantu oleh beberapa lelaki daripada kumpulan yang digelar sebagai 'Persatuan Bantahan Pendeposit'.

Difahamkan, video kejadian yang memaparkan suspek mengacukan pistol ketika bertengkar dengan kakitangan bank tular di media sosial Lubnan.

Ekoran daripada itu, kakitangan bank terus mengira wang kertas dan menyerahkan bungkusan wang kepada wanita terbabit.

Wanita itu bertindak menyiarkan secara langsung video tersebut di Facebook dan mengatakan bahawa dia hanya ingin mendapatkan haknya sahaja.

“Saya tak menceroboh bank ini untuk membunuh sesiapa ataupun membakarnya.”

“Saya hanya di sini untuk mendapatkan hak saya sahaja," jelasnya.

Suspek seterusnya mengatur temu bual dengan Al Jadeed News dan menyatakan bahawa pistol tersebut adalah mainan plastik milik anak saudaranya.

Tambahnya, dia tidak mempunyai pilihan lain untuk membayar bil perubatan kanser untuk kakaknya.

Hal ini kerana, pihak bank menyatakan bahawa dia tidak layak mendapat lebih daripada RM905.50 elaun bulanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram