Impian majlis perkahwinan berkecai, hantaran RM12,000 musnah dijilat api


  • Benua
  • Selasa, 13 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan duit hantaran kahwin yang hangus dijilat api ketika majlis perkahwinan pasangan tersebut.

UMUM mengetahui bahawa sebuah majlis perkahwinan memerlukan kos perbelanjaan dan komitmen yang tinggi daripada kedua-dua pasangan pengantin.

Setiap pasangan yang ingin bergelar suami isteri, terlebih dahulu perlu menyimpan duit bagi menampung perbelanjaan majlis serta hantaran kahwin khususnya bagi kaum lelaki.

Tanpa simpanan duit yang mencukupi, seseorang itu pasti mengalami masalah untuk menjalankan majlis perkahwinan dan ia boleh dianggap hampir mustahil bagi masyarakat hari ini untuk berkahwin tanpa mengeluarkan wang ringgit.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian video tular di laman Instagram apabila duit hantaran pengantin berasal dari Indonesia ini hangus terbakar sekelip mata.

Menurut laporan portal tempatan, pengantin lelaki terpaksa berputih mata apabila hantaran duit bernilai Rp40 juta (RM12,114) hangus dijilat api dalam kebakaran rumah yang berlaku ketika hari majlis pernikahan mereka.

Selain daripada hantaran, kerugian mencecah Rp 50 juta (RM 15,142) termasuk khemah untuk tetamu majlis turut dihadapi oleh lelaki tersebut berikutan kebakaran yang melanda rumah pengantin perempuan di Dusun Alluka, Desa Jipang, Daerah Bontonompo Selatan Indonesia baru-baru ini.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika keluarga pengantin lelaki sedang dalam perjalanan untuk ke rumah pasangannya namun satu kebakaran melanda rumah tersebut dan kesemua duit hantaran hangus dijilat api.

Kebakaran itu berpunca daripada hos silinder gas yang bocor di bahagian dapur yang menyebabkan api merebak ke seluruh rumah.

Kecewa dengan apa yang terjadi, pihak keluarga dilihat sedang mengira jumlah baki duit yang terselamat daripada kebakaran terbabit.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dengan nasib malang menimpa pasangan tersebut.

"Masih ada beberapa baki wang yang terselamat dan boleh ditukarkan dengan duit yang baharu di bank, harap urusan perkahwinan dipermudahkan selepas ini," kataidhamhanafi589.

"Zaman sekarang sebaiknya jangan gunakan duit tunai, lebih selamat jika dipindahkan melalui bank, lebih mudah dan cepat," tambah lukmanhakimsitorus.

"Kasihan bakal pengantin, harap urusan mereka dipermudahkan dan rezeki bertambah luas selepas daripada kejadian ini," jelas alfikrijamary.

Rata-rata netizen mencadangkan agar keluarga kedua-dua pasangan itu menukar duit mas kahwin yang terbakar di Bank Negara Indonesia kerana difahamkan, selagi nombor siri masih wujud dan tidak hilang, ia masih boleh digantikan dengan yang baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram