
SEORANG mekanik yang dikatakan cuba membaiki keretanya sendiri dilaporkan mengalami kecederaan apabila dirempuh kereta terbabit yang tiba-tiba bergerak tanpa pemandu.
Kejadian yang berlaku di Indonesia itu difahamkan terjadi ketika lelaki berkenaan sedang membaiki sebuah kereta di hadapan sebuah bengkel persendirian, namun tanpa diduga, dia kemudiannya dirempuh secara mengejut oleh kenderaan itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian yang berlaku ketika itu.
Menerusi rakaman video tersebut, lelaki berbaju belang itu terlebih dahulu dilihat cuba menghidupkan enjin sebelum keluar dan melakukan sedikit pengubahsuaian di bahagian hadapan kereta.
Namun, malang menimpa dirinya apabila enjin kereta kembali hidup ketika sedang leka membaiki dan akibat daripada itu, dia kemudiannya dilanggar dengan kelajuan yang tinggi sehingga pintu bengkel pecah.
Seorang wanita yang dipercayai merupakan isterinya dilihat terkejut dengan kejadian itu dan terus berlari ke arah pintu untuk menyelamatkan suaminya.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita bersama bayi dilihat cemas ketika kejadian dan pantas membunyikan hon kereta bagi meminta bantuan orang awam di situ.
Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada kecuaian lelaki itu yang tidak menarik brek tangan ketika sedang membaiki kereta terbabit.
Akibatnya, kenderaan itu meluru ke hadapan sebaik enjin berjaya dihidupkan.
Menerima lebih 9,000 jumlah tontonan di Instagram, warganet turut bersimpati dengan situasi tersebut.
"Kasihan, kenapa tidak mengundurkan kereta terlebih dahulu daripada terus membuka pintu, apa akan jadi kalau kereta itu terus bergerak ke hadapan," kata kosa_nkr.
"Bahaya sungguh kejadian seperti itu, pesanan untuk diri sendiri jangan lupa tarik brek tangan apabila kereta sedang berhenti walaupun enjin dimatikan," tambah peter panji.
"Dalam kejadian itu, perempuan itu sepatutnya segera mematikan enjin dan undurkan kereta, bukannya terus pergi membuka pintu kerana itu lebih merbahaya," ujar rendhy_smith.
Setakat ini, masih belum ada sebarang laporan berkenaan tahap kecederaan dan kesihatan mangsa dan netizen meminta agar berita tersebut dapat diketahui secepat mungkin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram