Wira Sang Penyu harap 'gurauan 2011' jadi inspirasi benam JDT


  • Podium
  • Rabu, 07 Sep 2022

Nordin menyifatkan skuad semasa TFC seakan-akan sama dengan pasukan yang muncul juara Piala FA pada musim 2011. — Facebook/Terengganu FA

TERENGGANU FC (TFC) diharapkan dapat menjadikan aksi final Piala FA 2011 sebagai motivasi untuk tetap berjuang sehingga wisel penamat dibunyikan menjelang perlawanan final menentang Johor Darul Takzim (JDT), Sabtu ini.

Perkara itu diluahkan bekas pemain Terengganu, Ahmad Nordin Alias yang menjadi wira pasukan selepas menjaringkan gol kemenangan Terengganu pada masa tambahan untuk menjulang trofi Piala FA 2011 menewaskan Kelantan.

Mengimbau kembali kenangan manis waktu itu, dia menyifatkan semangat perjuangan pasukan menjadi faktor kejayaan meskipun pada awalnya ketinggalan 0-1.

Walaupun Nordin tidak beraksi dalam kesebelasan utama, namun dia sentiasa mencari peluang untuk membantu pasukan sebaik sahaja dimasukkan dan akhirnya berjaya meledak gol.

“Masa hari perlawanan, saya ada bergurau juga dengan kawan saya (Wan Aliff Jasmi), kalau saya dapat jaringkan gol, saya nak pusing satu stadium.

“Malam itu, tak sangka dapat gol dan saya pusing separuh stadium, lepas itu saya terus menuju ke arah kawan saya.

“Sebelum itu, kecewa sikit tengok penyokong dah mula balik bila kita ketinggalan, tetapi saya ada dengar satu suara di belakang iaitu kapten Marzuki Yusof bagi semangat untuk terus bermain selagi wisel tak dibunyikan.

“Untuk Terengganu lawan JDT nanti, kita tahu JDT di tahap yang tinggi, tetapi untuk final ini berbeza dan saya rasa ia akan menjadi final paling menarik”, katanya seperti yang dilaporkan MFL.

Bercakap mengenai TFC ketika ini, Nordin menyifatkan skuad itu seakan-akan sama dengan pasukan pada musim 2011 yang memiliki kesemua pemain berkualiti tidak kira simpanan dan utama.

“Saya tengok TFC sekarang, saya terbayang pasukan Terengganu musim 2011, bezanya sekarang ada pemain import dan waktu itu semua pemain tempatan.

“Dari segi kesebelasan utama dan pemain simpanan, tidak ada yang berbeza sebab sesiapa pun yang diturunkan akan beri terbaik.

“Sama macam 2011, jurulatih pun amat susah nak pilih siapa yang akan bermain sebab adanya persaingan sihat antara semua pemain”, tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram