SEORANG lelaki yang dicekup polis Indonesia gara-gara menimbulkan kekecohan apabila menikam dan memukul penunggang motosikal secara rawak di sebuah jalan raya baru-baru ini rupa-rupanya mengalami masalah mental.
Kejadian itu yang berlaku di Simpang Semer, Badung Bali, Indonesia tular apabila pemilik akaun infodenpasarbali_ memuat naik rakaman itu di laman Instagram.
Suspek difahamkan mula bertindak ganas apabila menghalang laluan jalan dan melibas parang ke arah orang ramai.
Menuju ke persimpangan jalan ke Pengubengan Kauh, suspek kemudiannya bertindak menahan seorang penunggang dan memukul kepalanya beberapa kali sebelum mangsa berjaya melarikan diri.
Difahamkan, kronologi kes tersebut bermula sebaik suspek yang menunggang motosikal dikatakan berhenti di tengah jalan dan mengamuk serta menari sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Salah seorang penunggang motosikal di situ dilaporkan mengalami kecederaan akibat terkena libasan parang dan mangsa telahpun dibawa ke Pusat Kesihatan Kuta Utara untuk rawatan lanjut.
Namun begitu, suspek dilaporkan telah ditangkap oleh pihak polis apabila dia dilihat berbaring di tengah sawah padi depan orang ramai.
Hasil siasatan mendapati suspek mengalami gangguan mental dan telah dibawa ke balai polis Kuta Utara untuk siasatan lanjut dan pihak keluarganya juga akan turut disoal siasat bagi membantu menyelesaikan kes tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram