Pusat hiburan bising hingga ke pagi, penduduk Seksyen 16 Petaling Jaya mula bengang


  • Massa
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Pemilik restoran bar dikatakan sedang dalam proses menaik taraf fungsi kalis bunyi di premis mereka. — The Star

PENDUDUK di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor menggesa pihak majlis bandaraya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bar di kawasan itu kerana memasang muzik kuat sehingga ke pagi.

Rata-rata penduduk meminta premis itu ditutup kerana aktiviti tersebut mengganggu masa tidur mereka, namun rayuan yang dibuat telah ditolak.

Lebih kurang 25 orang penduduk yang terjejas di Seksyen 16 telah menandatangani petisyen aduan terhadap restoran bar berkenaan kerana mengganggu kawasan kejiranan dan penduduk sekitar.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, masalah ini terjadi sejak dua bulan lalu apabila premis bar yang baru memulakan operasi di kawasan itu memasang muzik yang sangat kuat pada 11.30 malam.

“Bunyi bising sangat kuat, saya boleh dengarnya dari dalam rumah saya.

"Salah satu pengalaman buruk saya ialah apabila bari di situ memasang muzik kuat pada pukul 1.15 pagi hingga bumbung dan tingkap saya bergetar," katanya.

Menurut penduduk lain di sekitar, kebanyakan mereka telah membuat aduan rasmi melalui portal e-aduan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berikutan rayuan mereka ditolak sebelum ini.

“Kami telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak berkuasa untuk memeriksa premis itu, tetapi muzik kuat akan terus dimainkan sebaik mereka beredar.

"Pegawai MBPJ juga telah memeriksa bar dan mengeluarkan saman kepada mereka tetapi isu itu masih berterusan," katanya.

Marina Miow, 41, berkata, keluarganya turut terjejas dengan bunyi bising itu.

“Bilik mertua dan anak lelaki saya berdepan dengan restoran itu dan bunyi bising akan kedengaran setiap kali kami hendak tidur.

"Saya seorang yang mudah tertidur namun sering terganggu dengan muzik yang dipasang terutamanya pada hujung minggu," katanya.

Ketika dihubungi, ahli majlis Seksyen 16 Chang She Yun mengesahkan bahawa MBPJ telah mengeluarkan saman kepada pemilik premis.

Pemilik bar yang enggan namanya didedahkan berkata, dia sedang dalam proses untuk memasang fungsi kalis bunyi di premis perniagaannya.

“Kami tidak menerima sebarang maklumat aduan daripada penduduk dan hanya seorang saja yang bersuara,” katanya.

Ketika dihubungi, jurucakap MBPJ telah membatalkan "Kad Akuan Premis" yang membenarkan aktiviti hiburan di kawasan itu.

Premis kad akuan merupakan sejenis surat kebenaran yang mengizinkan pemilik menjalankan aktiviti hiburan selama tiga bulan sementara menunggu lesen hiburan yang sah diluluskan.

“Premis di situ telah melanggar garis panduan lesen dan beroperasi melebihi masa yang dibenarkan sehingga pukul 1.00 pagi.

“Pada masa sama, pihak majlis juga telah mengeluarkan kompaun bagi kesalahan tersebut,” katanya.

Tiga orang pegawai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Alam Sekitar MBPJ turut hadir bagi membuat tinjauan di kawasan rumah penduduk.

Menurut salah seorang pegawai, pihak MBPJ menjalankan tugas mengikut garis panduan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah undang-undang kawalan bunyi dan kawalan persekitaran.

"Bagi kategori Kediaman Bandar dan Pembangunan, paras muzik yang dibenarkan selepas pukul 10 malam hanya sehingga 60 desibal sahaja.

“Siasatan awal mendapati premis bar di situ telah memasang lagu melebihi had 60 desibel dan laporan akhir akan diserahkan kepada jabatan untuk semakan lanjut,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram