KEBERANIAN seorang kanak-kanak perempuan menjadi buah mulut orang ramai, selepas dia melawan seorang anggota tentera pengganas Israel.
Menerusi sebuah video tular, kanak-kanak warga Palestin tersebut bertindak menempik dan cuba menumbuk muka anggota tentera tersebut, namun gagal.
Perbuatan kanak-kanak itu tidak dilayan oleh anggota tentera tersebut, sebaliknya hanya dibalas dengan senyuman ejekan.
Tidak beberapa lama kemudian, kanak-kanak itu dilihat bersama-sama ibu dan rakan-rakannya sekali lagi bertemu dengan anggota tentera tersebut.
Ketika itu, anggota tentera berkenaan dilihat tidak keseorangan apabila dia juga ditemani oleh rakan-rakannya yang lain.
Pertemuan itu dilakukan apabila kanak-kanak tersebut dipercayai mahu meluahkan perasaan tidak puas hati mereka, susulan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin secara berterusan.
Setakat ini, video tersebut mempunyai lebih 500,000 tontonan, dengan lebih 70,000 memberi tanda suka (likes) serta lebih 1,000 perkongsian (shares).
Antara kekejaman rejim Zionis Israel termasuk memusnahkan hampir 166,000 penempatan Palestin sejak ia didirikan pada 1948.
Pada 2020, Pusat Penyelidikan Tanah Persatuan Pengajian Arab di Baitulmaqdis yang diduduki melaporkan, lebih sejuta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan.
"Ia juga mendorong beberapa warga Palestin terpaksa merobohkan kediaman sendiri atas desakan rejim Zionis," kata pusat itu.
Rejim Zionis juga dilaporkan mengehadkan pembinaan penempatan Palestin, selain memaksa rakyat negara itu membina kediaman sendiri tanpa permit yang kononnya di bawah kuasa Israel
Sementara itu, Israel merancang pembinaan ribuan unit kediaman di penempatan haram di tanah Palestin yang diduduki. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram