Misi KJ selami kedaifan hidup minoriti Islam Tanzania


Pengalaman mengikuti misi kemanusiaan di Tanzania pada 2017 benar-benar membuka mata KJ (baju biru) terhadap nasib masyarakat Islam minoriti di situ. — Ihsan IM

PENGALAMAN menjejakkan kaki ke Tanzania, Afrika Timur pada 2017 membuka mata Mohamad Khairul Jamain tentang kehidupan masyarakat Islam minoriti yang hidup serba daif.

Berbekalkan pengalaman selama dua bulan itu, Mohamad Khairul Jamain yang mesra disapa KJ berkata, dia terpanggil untuk menyantuni masyarakat yang terpinggir itu menerusi penganjuran Misi Kemanusiaan Afrika.

"Kita dengar banyak masyarakat Islam di bumi Syria dan Palestin ditindas namun pada masa sama, mereka turut mendapat bantuan sewajarnya daripada pelbagai entiti termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Namun nasib berbeza bagi masyarakat Islam minoriti di Tanzania kerana liputan mengenai kedaifan hidup mereka kurang meluas, menyebabkan ramai tidak tahu komuniti ini dipinggirkan dan hidup di daerah-daerah termiskin dalam negara mereka sendiri," katanya kepada Majoriti.

Menurut KJ, masyarakat Islam di situ bukan sahaja tidak memiliki infrastruktur seperti sekolah yang sempurna bahkan mereka tiada satu bentuk sistem pendidikan dan kesihatan yang baik.

"Kanak-kanak di sini banyak yang menderita penyakit kwashiorkor (fizikal kurus dan perut buncit) akibat kekurangan gizi makanan.

"Saya juga sedih melihat mereka perlu berjalan sejauh 15 kilometer secara berkaki ayam untuk ke sekolah yang bangunannya juga sangat daif," katanya lagi.

KJ AFRIKA 2

KJ menyantuni masyarakat Islam minoriti di Tanzania semasa kunjungan ke Afrika pada 2017. — Ihsan IM

Bertitik tolak daripada pengalaman menginsafkan itu, KJ berkata, dia memperoleh inspirasi untuk membantu masyarakat tersebut menerusi Misi Kemanusiaan Afrika yang akan memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi.

Menurut KJ, misi anjuran Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM) yang diketuainya itu menyasarkan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM1.2 juta bagi projek merangkumi pengagihan daging korban, keperluan persekolahan, wakaf al-Quran dan baik pulih sekolah.

Jumlah sasaran itu juga katanya, merupakan usaha IM dan rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan lain seperti kelengkapan ibadah dan bantuan mengajar.

Malah, bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, misi itu turut menyasarkan untuk mendapatkan 100 ekor lembu korban, 100 ekor kambing akikah dan 500 kilogram infak daging untuk diserahkan kepada masyarakat Islam di Tanzania.

"Bagaimanapun jika sambutan menggalakkan, IM akan berusaha mendapatkan lagi bekalan kambing dan lembu dari rakan NGO kami di sana untuk menunaikan permintaan dari rakyat Malaysia," katanya.

KJ yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IM memberitahu, pihaknya akan mengunjungi dua buah daerah utama iaitu Handeni dan Kilendi menerusi kunjungan ke Tanzania itu nanti.

“Daripada informasi yang kami terima daripada rakan kerjasama kami iaitu Islamic Help, mereka menyatakan bahawa dua daerah ini adalah yang paling miskin dan sangat memerlukan bantuan di Tanzania.

“Justeru, Tanzania menjadi lokasi sasaran kerana kurangnya bantuan dihulurkan kepada komuniti Muslim di sana sejajar dengan fokus IM yang melihat pada komuniti dan isu terpinggir,” katanya sambil memberitahu bahawa pertubuhan yang diasaskannya itu turut menyantuni masyarakat daif di Sandakan dan Semporna, Sabah.

QA30

Misi kemanusian IM antara lain merangkumi pengagihan daging korban kepada masyarakat Islam di Tanzania. — Ihsan IM

Menurut KJ, seramai tujuh ikon popular tempatan terdiri daripada barisan selebriti, personaliti TV, usahawan dan bintang sosial media, bakal mengikuti misi kemanusiaan itu yang akan bermula 6 Julai sehingga 19 Julai depan.

Tujuh ikon yang akan turut serta ialah Hazeman Huzir, Farah Lee, Nadzmi Adhwa, Akhi Fairuz, Que Yahaya dan Nazirul selain personaliti korporat iaitu Aiman Hakim dari Isosynergy Holdings Sdn Bhd.

"Saya menanam kerpercayaan tinggi terhadap tujuh ikon berkenaan bersama kewibawaan masing-masing sebagai ejen penyebaran maklumat untuk misi itu, secara tidak langsung dapat menyuntik kesedaran kepada pengikut mereka.

“Misi ini bukan sekadar daripada usaha IM semata-mata, malahan juga atas bantuan rakan ikon kemanusiaan yang mengambil bahagian.

“Suka saya maklumkan bahawa semua ikon yang terlibat di dalam misi ini adalah individu yang aktif dalam isu kemanusiaan. Mereka bukan sahaja dipilih secara sewenang-wenangnya kerana ada antara mereka merupakan sebahagian daripada pasukan IM sendiri.

“Hasrat dan tujuan yang mereka bawa serupa seperti kami iaitu untuk mendepani isu kemanusiaan terutamanya bagi membantu komuniti masyarakat Islam di Afrika secara khususnya.

“Mereka memainkan pengaruh yang besar untuk memberikan kesedaran akan isu di Afrika dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya,” katanya.

IKON

Poster Misi Kemanusiaan Afrika yang akan disertai tujuh ikon selebriti dan personaliti media sosial. — Ihsan IM

Mengulas mengenai misi itu, KJ memberitahu, program tersebut akan dilengkapi dengan beberapa aktiviti utama antaranya penglibatan secara langsung dalam aktiviti korban di sana.

"Ikon berkenaan akan dibawa melawat ke kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan untuk melihat aspek yang boleh dibantu pada masa akan datang seperti madrasah, sekolah dan sebagainya," ujarnya.

Jelas KJ, buat masa ini, program seperti projek ibadah korban, aqiqah dan projek wakaf hanyalah fasa pertama daripada keseluruhan gerak kerja mereka.

IM katanya, bukan hanya menyasarkan projek berbentuk ‘one-off’ namun, matlamat mereka adalah untuk menjayakan projek yang mempunyai impak jangka masa panjang.

"Gerak kerja kami berbeza kerana kami akan mengkaji serta menganalisis keperluan bagi mengelakkan pembaziran dana sumbangan rakyat Malaysia.

“Fasa kedua itu nanti akan dikemas kini secara langsung di platform semua ikon yang terlibat. Harapan kami adalah untuk menjayakan lebih banyak projek dengan impak jangka masa panjang terutama di Afrika.

“Selain impak kepada komuniti, IM diharap dapat memberi penagaruh terbesar dalam mendepani isu kemanusiaan terutama dalam kalangan anak muda.

IM25

Misi Kemanusiaan Afrika akan memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi. — Ihsan IM

“Dua teras utama IM adalah dalam menyasarkan pembangunan pendidikan dan ekonomi yang mana kedua-dua aspek ini adalah elemen penting yang saling berkait dalam ekosistem masyarakat setempat.

“Impak yang jelas mungkin tidak dapat dilihat dalam sehari dua, namun kami percaya bahawa nasib sesuatu bangsa dapat diubah dengan pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Mereka yang bermurah hati untuk menyumbangkan dana dan ingin berinfak bagi menyokong Misi Kemanusiaan Afrika ini boleh salurkan sumbangan anda ke impactivemy.onpay.my/order/form/13 atau impactivemy.onpay.my/order/form/media4afrika.

Sumbangan anda juga boleh disalurkan ke akaun bank Pertubuhan IMpak Prihatin Malaysia (Impactive Malaysia) di no akaun RHB – 21245760048670. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram