SIAPA sangka pertengkaran dua beradik lelaki berakhir di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust dekat Pasir Puteh, Ipoh, Perak berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemui mati dalam sebuah rumah pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, dua beradik yang juga warga emas berusia 70 dan 67 tahun itu berselisih faham menyebabkan si abang bertindak menikam adiknya berusia 67 tahun dengan senjata tajam dipercayai golok.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati, terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur, manakala seorang lagi di luar kawasan rumah dalam keadaan leher digantung.
Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan adik-beradik dan berdasarkan beberapa keterangan, sebelum kejadian telah berlaku pergaduhan antara mereka hingga membawa kepada insiden berkenaan.
"Polis sedang buat siasatan punca sebenar pergaduhan hingga berlaku insiden ini kerana saksi mengatakan, mereka memang kerap bergaduh, cuma tidak tahu hari ini sampai mencetuskan kejadian ini.
"Siasatan awal kita, suspek dipercayai telah membunuh adiknya, sebelum ditemui tergantung," katanya di lokasi kejadian pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui sebilah golok di sisi suspek dipercayai senjata digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, suspek bekerja pemandu teksi dan mangsa yang merupakan pesara tinggal bersama di rumah itu bersama isteri dan anak.
"Isteri mangsa berusia 50-an yang cuba meredakan pergaduhan itu turut mengalami luka di tangan serta jari.
"Siasatan akan diteruskan dan kita akan memaklumkan perkembangan sehingga mendapat keputusan bedah siasat," katanya.
Katanya, kes kini diklasifikasikan sebagai 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram