SEEKOR lembu jantan mencetuskan rasa panik dalam kalangan orang awam apabila bertindak merempuh koridor sebuah bank di LOD, Israel pada Isnin.
Video rakaman orang awam menunjukkan lembu jantan itu berkeliaran di tempat letak kereta di luar bangunan Bank Leumi tersebut sebelum menonong laju ke dalam bank.
Rakaman dari dalam bangunan menunjukkan haiwan itu tergelincir di lantai yang digilap ketika ia menyerbu dan mengejar orang ramai di koridor sambil mencari jalan keluar.
Beberapa orang juga dilihat cuba membantu menarik perhatian lembu jantan itu dengan tujuan menghalaunya keluar dari bangunan.
Setelah seketika, pemilik lembu jantan itu akhirnya berjaya dikesan dan dipanggil ke tempat kejadian bagi menuntut haiwan ternakannya itu.
Dengan menggunakan bantuan orang ramai, pemilik menggunakan tali untuk memasang perangkap di hujung koridor untuk menjerat lembu jantan itu.
Seorang lelaki memberanikan diri untuk menjadi umpan apabila dilihat 'memancing' lembu jantan itu ke arah tali tersebut.
Selain itu, doktor haiwan juga dipanggil ke tempat kejadian sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya haiwan itu bertindak agresif dan perlu diberi ubat penenang.
Lembu jantan itu kelihatan curiga dengan tali yang dipasang di pintu masuk, tetapi akhirnya termakan umpan tersebut.
Melihat tali sudah melilit leher lembu jantan berkenaan, pemilik dengan segera menariknya ke luar bangunan sebelum ditenangkan.
"Awal pagi tadi, seekor lembu jantan memasuki salah satu bangunan pejabat Bank Leumi. Lembu jantan itu kini telah ditangkap, dan dibawa ke luar dari bangunan bank," kata bank itu dalam satu kenyataan.
Tiada kecederaan fizikal dan kerosakan harta awam dilaporkan sepanjang kekecohan itu berlaku.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram