Lembah panas terpanas di dunia alami banjir, 1,000 orang terperangkap


  • Benua
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Banjir yang melanda telah menghancurkan jalan serta merosakkan beberapa buah kenderaan di kawasan berkenaan. — Agensi

BUAT julung kalinya banjir besar melanda Death Valley California, Amerika Syarikat sehingga mengakibatkan kira-kira 1,000 orang terperangkap dan menenggelamkan kereta serta menutup semua jalan keluar masuk lokasi berkenaan.

Death Valley California yang terkenal sebagai lembah kering, turut digelar sebagai tempat paling panas di dunia kerana tidak pernah dilanda hujan sebelum ini.

Namun di sebalik kejadian itu, Perkhidmatan Taman Negara melaporkan tiada sebarang kemalangan jiwa dicatatkan.

Lembah terpanas di dunia, Death Valley California catat peristiwa banjir kali pertama dalam sejarah. — Agensi

"Peristiwa hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah menyebabkan banjir besar," kata perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kira-kira 500 pelawat dan 500 kakitangan terperangkap di kawasan taman itu yang terletak di Gurun Mojave, California Timur.

Perkhidmatan Taman Negara berkata, arus banjir menghancurkan bahagian jalan berturap dan menolak bekas sampah ke dalam kereta yang menyebabkan kenderaan itu bertembung.

Selain itu, hujan turut membanjiri kawasan pejabat dan hotel berhampiran.

Perubahan suhu yang tinggi disebabkan oleh perubahan iklim bermakna atmosfera menyimpan lebih banyak lembapan sekali gus melepaskan lebih banyak hujan yang menyebabkan kejadian banjir berkenaan.

Menurut pakar iklim PBB, walaupun dunia berjaya mengehadkan pemanasan kepada 1.5 darjah celsius, sesetengah wilayah akan mengalami peningkatan dalam kekerapan, intensiti dan kuantiti hujan lebat. — Agensi