Kantoi 2 kali, lelaki pakai 'mask' curi tabung pelajar Kafa di masjid Shah Alam


  • Tular
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Tangkap layar tindakan lelaki yang mencuri tabung masjid itu berjaya dirakam oleh CCTV.

ORANG lain jadikan masjid tempat beribadat dan melakukan amal jariah, lain pula yang dilakukan oleh seorang lelaki di Masjid Nadhah Al Islam di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor ini.

Perlakuan lelaki berkenaan menjadi tular apabila tindakan terkutuknya mencuri tabung masjid berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).



Rakaman tular lelaki berkenaan sedang mencuri tabung derma.

Menerusi rakaman tersebut, lelaki yang memakai baju belang hitam dan topeng muka, memasuki ruang solat masjid dengan kasut hitam sambil menyalakan lampu suluh telefon bimbitnya.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat yang mulia itu menunjukkan suspek menggunakan besi nipis panjang untuk mengaut wang kertas daripada tabung derma orang ramai itu.

Difahamkan tabung derma berkenaan merupakan sumbangan yang dikumpulkan untuk sekolah Kelas Al-Quran & Fardu Ain (Kafa).

Lebih memerantjatkan, lelaki berkenaan juga didakwa bukan pertama kali melakukan perbuatan itu dan disyaki melakukan perbuatan sama juga di masjid berkenaan.

Aksinya itu mendapat kecaman ramai kerana warganet menyifatkan angkara perbuatan mencuri tersebut ada sesetengah masjid yang memilih untuk mengunci rumah ALLAH.

"Sebab perbuatan macam inilah, ada masjid atau surau yang kena kunci," kata pengguna Twitter, nrfhz27.

"Itulah. Dulu saya kerja sales banyak kerja luar. Nak singgah masjid/surau solat dan rehat pun tidak dapat kalau luar waktu," tulis Emre Hasegawa yang bersetuju dengan komen nrfhz27.

"Tak berbaloi, korek-korek RM 1 saja... dosa dapat... Kantoi masuk dalam pula," komen eamir_amre.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubungnya semalam selepas ahli jawatankuasa masjid berkenaan membuat semakan terhadap CCTV kira-kira pukul 11.15 pagi hari sama.

Katanya, berdasarkan semakan itu mendapati lelaki itu mencuri menggunakan pembaris besi dengan berulang antara lima hingga enam kali.

"Masjid berkenaan berpagar dan berkunci serta tiada pengawal keselamatan yang bertugas. Empat daripada lapan buah CCTV merakam tindakan pencuri berkenaan yang memasuki kawasan masjid dengan berjalan kaki dan disyaki masuk kawasan masjid dengan memanjat tembok di bahagian belakang masjid

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan saspek dan pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai berkaitan kes ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, jika orang ramai mempunyai maklumat disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sjn Anis Shafinas di talian 017-2944535. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram