Mayat pemandu teksi ditemukan berbalut pita pelekat


  • Benua
  • Khamis, 28 Jul 2022

Mayat lelaki tidak dikenali dalam keadaan berbalut pita pelekat ditemui di Jalan Ibu Tien Suharto, Kampung Pekandangan, Bandung. — Agensi

MAYAT seorang lelaki yang ditemukan di Jalan Ibu Tien Suharto, Desa Pekandangan, Indramayu, Bandung, Indonesia dalam keadaan berbalut pita pelekat dan disyaki menjadi mangsa bunuh.

Daripada hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang ditemukan pada Isnin lalu itu, polis mendapati ada berlakunya serangan terhadap mangsa.

“Sejauh ini, kami syaki mayat ini jadi mangsa pembunuhan,” kata Ketua Hubungan Masyarakat Polis Jawa Barat, Komisioner Kanan Ibrahim Tompo seperti dipetik Kompas.com.

Polis turut menemukan kecederaan akibat objek tumpul di kepala mangsa.

“Terdapat kesan trauma pada kepala mangsa. Polis turut menemui kesan melecet pada bibir atas dan bawah, dagu, hidung dan leher mangsa.

"Luka terbuka turut ditemui pada kelopak mata kanan mangsa, namun tidak diketahui punca kematiannya,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh polis, mangsa yang merupakan pemandu teksi dalam talian kali terakhir bertemu dengan isteri mangsa pada Jumaat (22 Julai 2022).

Mangsa yang dikenali sebagai Widodo, 54, kali terakhir berkomunikasi dengan isterinya pada Ahad (24 Julai 2022) kira-kira pukul 2 petang melalui pesanan ringkas.

Ditanya sama ada mangsa dirompak, polis berkata, setakat ini, tiada barang milik mangsa dilaporkan hilang.

Polis juga tidak dapat mengesan di mana kereta mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara terperinci.

Katanya, mangsa menggunakan kenderaan jenis Daihatsu Luxio berwarna perak dengan nombor plat B 1063 FRT. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram