
SEORANG pengurus dana ekuiti berusia 28 tahun, sengaja menunjukkan kekayaan diri dan keluarganya sehingga mencetuskan pertikaian dalam talian, menerima padah apabila digantung kerja oleh syarikatnya.
Tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada pihak syarikat menjalankan siasatan berhubung kekayaan yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.
Baru-baru ini, tangkap layar hantaran WeChat pekerja terbabit dikenali sebagai Zhou Jie, yang merupakan pekerja Jiangxi State-owned Capital Operation Holding Group menjadi tular.
Dalam tangkap layar itu, lelaki tersebut membuat hantaran yang menunjukkan kekayaan keluarganya selain bercerita tentang kenaikan pangkat bapanya.
Perkara itu mendapat kritikan dan spekulasi meluas dalam talian, yang mana ramai netizen tertanya-tanya sama ada keluarga Zhou mengumpul kekayaannya melalui amalan rasuah.
Malah, timbul persoalan mengenai sama ada bapanya dinaikkan pangkat melalui penyalahgunaan kuasa.
Bapa Zhou, 59, merupakan pegawai penyiasat di bahagian logistik pengangkutan dekat pusat pembangunan pengangkutan komprehensif Jiangxi.
Bapanya sebelum ini pernah bekerja di bahagian pengangkutan penumpang dan kargo bekas pentadbiran pengangkutan lebuh raya Jiangxi.
Selain itu, bapanya dinaikkan pangkat ke jawatan terkini pada September 2020.
Hasil siasatan mendapati bahawa, kenaikan pangkatnya adalah selaras dengan peraturan, menurut syarikat itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Zhou dan ibu bapanya membeli enam buah rumah dengan keluasan keseluruhan 705 meter persegi dari 2006 hingga 2022, yang mana mereka secara kolektif membayar kira-kira 6.55 juta yuan (RM4.3 juta).
Mereka juga membeli dua buah kedai berkeluasan kira-kira 82.7 meter persegi dengan jumlah keseluruhan 1.91 juta yuan (RM1.25 juta). Mereka kini membayar balik pinjaman 2.53 juta yuan (RM1.66 juta).
Selain itu, Zhou sebelum ini mendakwa bahawa, seorang pegawai wilayah pernah menawarkannya rokok dan minum teh bernilai 400,000 yuan (RM263,700) sekilogram. Dakwaan-dakwaan ini adalah palsu, kata kenyataan itu.
Pada Isnin, syarikat itu mengeluarkan notis yang mengatakan bahawa Zhou membuat hantaran di laman WeChat dari September 2019 hingga Jun 2020, manakala kandungan itu kemudiannya ditularkan oleh orang ramai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram