PENCARIAN seorang warga emas berusia 61 tahun bertemu titik akhir apabila lelaki berkenaan akhirnya ditemui warga Desa Pagar, Kecamatan Sembakung Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia pada Jumaat.
Ketua kampung Desa Pagar, Simon Yangasong berkata, lelaki yang dikenali sebagai Kakek Bu (Atuk Bu) itu ditemui di jalan masuk Desa Tujung, iaitu sebuah desa yang berjarak 15 kilometer dari Desa Pagar.
"Kami telah menjumpai Atuk Bu, keadaannya sihat dan baik baik saja. Berkemungkinan dia hanya makan tumbuh-tumbuhan dan minum air paya saja selama dua hari tersesat di dalam hutan," ujarnya.
Simon mengesyaki Atuk Buk terlupa jalan pulang ke rumah kerana keadaan badannya yang tidak sihat dan lesu ketika baru keluar ke hutan.
Katanya, kelesuan mempengaruhi kewarasan mindanya sekali gus membuatkan Atuk Bu keliru lalu berjalan menuju ke arah bertentangan dari Kampung Pagar.
Kedudukan Atuk Buk akhirnya diketahui menerusi pesanan berantai penduduk yang tidak putus-putus berkongsi tentang perkembangan warga emas berkenaan melalui WhatsApp.
"Atuk Bu terlupa jalan pulang dan akhirnya berjalan sampai ke Kampung Ujung. Foto Atuk Buk tersebar dengan pantas melalui aplikasi WhatsApp sehingga akhirnya ditemui penduduk yang terus mencari di dalam hutan.
"Atuk Bu ditemui ketika dia baru memasuki Kampung Tujung sekitar jam 6 petang. Penduduk di situ segera menyebarkan berita penemuan tersebut melalui WhatsApp,'' tambah Simon.
Dengan tersebarnya berita penemuan tersebut, pencarian dihentikan dan warga Desa Pagar pergi ke Desa Tujung untuk menjemput Atuk Bu pulang.
Pada Rabu lalu, Atuk Bu dilaporkan hilang setelah dilihat masuk ke dalam hutan untuk memasang perangkap ikan di sungai yang terletak di dalam hutan.
Berita tersebut telah menyebabkan warga Desa Pagar menghabiskan masa selama dua hari termasuklah dengan tidur di dalam hutan bagi mencari Atuk Bu.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram