Selepas seminggu berpindah ke Kelantan FC, mesej Kenta Hara terungkai


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Kenta (paling kanan) antara pemain baharu dibawa masuk ke Kelantan FC. — Facebook TRW

MESKIPUN belum tampil dalam aksi sulung bersama skuad Kelantan FC, bintang baharu Red Warriors sudah memasang cita-cita besar bersama pasukan Pantai Timur itu.

Kenta Hara melengkapkan perpindahan ke Kelantan FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim ini dari kelab Bosnia and Herzegovina, FK Alfa Modrica.

Bermain di posisi sayap kiri, Kenta dilihat mampu menjelmakan serangan yang dinamik bagi membantu The Red Warriors memenangi gelaran Liga Perdana, sekali gus kembali menjejakkan diri ke kancah Liga Super selepas empat tahun 'menghilangkan diri'.

Dengan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana selepas sembilan perlawanan dan mengumpul 22 mata, Kelantan FC berkongsi mata bersama pendahulu, T-Team yang lebih dua perlawanan.

Mengikut kiraan mudah, Kelantan FC tiada halangan besar untuk bergelar juara pada musim ini jika menang kesemua perlawanan dan laluan itu bakal dimudahkan lagi dengan prestasi dan kualiti pemain yang sedia ada dalam pasukan.

Kemasukan Kenta juga diharap dapat menambahkan lagi bisa serangan dan mampu mencipta peluang buat Kervens Belfort, Nixon Guylherme, Arip Amiruddin, dan Nurshamil Abd Ghani di bahagian penyudah.

Kenta Berlatih

Kenta kini giat berlatih bersama skuad TRW. — Ihsan trwkelantanfc

Seminggu selepas perpindahan secara rasmi ke Kelantan FC, Kenta memberikan satu mesej jelas buat penyokong The Red Warriors tentang tujuannya ke kelab itu.

"Kali ini, saya berpindah ke @kelantanfc_trw. Saya mahu bergelar juara pada musim ini.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang terlibat dalam perpindahan ini," katanya ringkas dalam satu ciapan Twitter.

Pemain berusia 26 tahun itu kini sibuk menjalani latihan bersama skuad dan difahamkan dia akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Natanael Siringoringo yang kini beraksi bersama kelab Indonesia, Dewa United FC.

Kenta memulakan karier profesionalnya pada 2018 bersama kelab di jerman sebelum ke Bosnia.

Pengalamannya di Eropah mampu membantu Kelantan untuk mengekalkan rentak kemenangan bagi pusingan kedua Liga Perdana.

Dalam wawancara bersama media rasmi kelab itu, Kenta berkata dia sangat bersyukur dan gembira menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

Dia sedar bahawa pemain muda Kelantan FC amat berbakat dan berkemahiran selain mengakui kesukaran untuk menerima peluang bermain di Liga Malaysia.

"Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan dan barisan kejurulaithan kerana percaya kepada saya. Saya akan menggunakan bakat untuk pasukan ini mencapai kemenangan," katanya.

Kenta juga mendedahkan dia sering mengikut perkembangan bola sepak Malaysia.

"Pada pandangan saya, evolusi bola sepak di sini positif dan amat mencabar. Saya perlu bersaing dengan pemain tempatan dan ia merupakan persaingan yang sihat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram