Terdesak buat 'content', kanak-kanak tunjuk aksi berani mati tahan lori


  • Benua
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Tangkap layar video tular aksi kanak-kanak terbabit ketika menahan sebuah lori.

AKSI liar seorang kanak-kanak lelaki menghalang laluan kenderaan di kawasan Nagrak Periuk, dekat Tangerang, Indonesia tular di media sosial.

Ketika kejadian pada waktu malam itu, kanak-kanak tersebut dilihat terdesak berbuat demikian, dipercayai semata-mata ingin mencipta kandungan serta menarik perhatian orang ramai.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun Instagram @abouttngid pada Jumaat, kanak-kanak itu dilihat berlari ke arah jalan raya dan cuba menahan sebuah lori yang sedang bergerak laju.

Pada masa sama, dia juga dilihat menyentuh pintu lori itu menerusi aksi berani mati tersebut.

Ketua Polis Metro Tangerang, Kombes Zain Dwi Nugroho berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dengan lebih lanjut.

"Kami juga sedang mengenal pasti identiti kanak-kanak itu serta lokasi sebenar kandungan berbahaya itu," kata Zain ketika mengesahkan perkara itu pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Metro Tangerang, Kompol Joko Sembodo mengesahkan, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap kanak-kanak tersebut.

Joko berkata, pihaknya telah meningkatkan rondaan bagi meminimumkan tindakan serupa.

Selain memaksimumkan keselamatan di Kota Tangerang, katanya, polis juga sedang melakukan pendekatan di sekolah.

Beliau berharap agar ibu bapa turut memberi kerjasama dalam meningkatkan peranan mereka untuk mengawasi anak-anak.

"Ketua polis juga diarahkan untuk turun padang. Kita tidak boleh 24 jam (memantau). Jadi, peranan ibu bapa diharap membantu dan orang ramai perlu segera memaklumkan kepada pihak polis jika mengesyaki sesuatu yang bahaya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram