Fenomena kabus aneh rupanya gas beracun, orang ramai dinasihatkan berwaspada


  • Benua
  • Rabu, 06 Jul 2022

Asap putih tebal menyelimuti jalanan di Cimone, Kota Tangerang, Indonesia pada Rabu. — Agensi

MISTERI kabus putih yang dilihat menutupi jalan sehingga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya Warga Karawaci, Kota Tangerang, Indonesia, pada Rabu akhirnya terbongkar.

Siasatan pihak berkuasa mendapati fenomena asap putih seperti kabus itu berpunca daripada kebocoran pada tabung pengisian alat pemadam api (APAR) yang bocor di tengah jalan.

Ketua Polis Karawaci, Kompol Hasoloan Situmorang menjelaskan, kejadian berlaku di Jalan Gatot Subroto, Cimone, Indonesia.

Fenomena aneh tersebut menarik perhatian penduduk yang dengan teruja menularkan rakaman video kabus tersebut tanpa mengetahui punca sebenar.

“Kejadian berlaku pada pukul 7 pagi dan beransur hilang dalam tempoh kurang sejam,” katanya.

Hasoloan mengakui pihaknya kini sedang menyiasat kejadian itu dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi.

“Kami masih dalam proses mengambil maklumat di kawasan terlibat. Sehingga kini, terdapat tiga saksi yang sedang disoal siasat.

"Kami mengesyaki asap berkenaan adalah berpunca daripada kebocoran gas karbon dioksida (CO2) dari tiub pengisian APAR," tambah Hasoloan. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

asap, racun, kabus, Indonesia, tular, bahaya, waspada