Budak parah diseret peragut


  • Benua
  • Khamis, 09 Jun 2022

Polis sedang menyiasat kes itu serta memburu suspek. — Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak berusia 8 tahun bernasib malang apabila telefon bimbitnya diragut di Ciledug, di Tangerang, Indonesia.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan, dua suspek yang menunggang motosikal pada mulanya menghampiri mangsa yang sedang bersiar-siar.

Tanpa berfikir panjang, salah seorang suspek bertindak meragut telefon bimbit mangsa.

Mangsa yang cuba mempertahankan telefon bimbitnya telah diseret di tengah-tengah jalan pada jarak beberapa meter, sehingga mengalami luka.

Kedua-dua suspek berjaya meragut telefon bimbit tersebut, sebelum berlalu pergi meninggalkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ciledug, Kompol Noor Marghantara ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Ya, betul, ia diambil (telefon bimbit). Mangsa dikenali sebagai RAR dan berusia lapan tahun," katanya.

Katanya, beliau cuba mengambil pendekatan dengan berkunjung ke rumah mangsa. Mangsa cedera akibat kejadian itu.

"Kami meminta penjaga ke lokasi kerana mangsa merupakan kanak-kanak," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian selain berusaha untuk memburu suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kanak-kanak, ragut, telefon bimbit, Ciledug