MALANG menimpa seorang gadis yang bukan sahaja yatim piatu, malah individu tidak bertanggungjawab turut mengambil kesempatan atas statusnya itu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai U, 19, diperkosa oleh majikannya berkali-kali ketika bekerja di sebuah kedai runcit di Cengkareng, Jakarta Barat, Indonesia.
U mula bekerja di kedai runcit itu ketika berusia 16 tahun dan sejak itu, bermulalah detik hitamnya apabila maruahnya dicabul oleh suspek dikenali S, yang berusia 52 tahun.
“Tindakan (rogol) itu berlaku selama tiga tahun sejak mangsa berusia 16 tahun,” kata seorang pegawai polis, Ardhie Demastyo pada Jumaat.
Ardhie berkata, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh suspek di kedai runcitnya atau di rumah sewa milik mangsa.
"Pada mulanya, suspek dan mangsa berada berdua-duaan di kedai tersebut, lalu timbul niat buruk suspek terhadap mangsa,” katanya.
Ardhie berkata, mangsa juga menerima tekanan dan ugutan daripada suspek untuk tidak mengadukan perkara itu kepada sesiapa.
Ugutan itu membuatkan mangsa berasa takut sehingga melahirkan anak pada Mac lalu.
Akhirnya, perkara itu diketahui oleh bapa saudara mangsa yang tinggal di Karawang.
Mangsa kemudian membuat laporan polis manakala suspek ditahan serta-merta.
Suspek disiasat mengikut Pasal 81 Ayat (2) UURI Nombor 17 Tahun 2016 tentang Perlindungan Kanak-Kanak, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak Rp 5 juta (RM1,520). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram