SEJAK beberapa hari lalu, Malaysia menyambut ketibaan tiga pasukan yang bakal berentap dalam Kumpulan E bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023, bermula Rabu ini.
Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh merupakan tiga negara yang berada dalam Kumpulan E selain skuad kebangsaan sebagai tuan rumah dan bakal membuat perhitungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 8 Jun sehingga 14 Jun 2022.
Dalam keterujaan peminat tuan rumah menyambut kedatangan kontinjen lawan, timbul perkara yang kurang menyenangkan sebaik skuad ketiga-tiga negara tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ini kerana, perkongsian gambar dari laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sewaktu meyambut ketibaan pemain antarabangsa itu meraih perhatian warganet apabila menunjukkan FAM hanya menggunakan lori kanvas untuk mengangkut barang dan peralatan mereka.
Pasukan Bahrain meletakkan barang mereka dalam lori kanvas sebaik tiba di Kuala Lumpur.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Zainuddin MJ meluahkan kekesalannya berhubung perkara itu di laman Facebook yang mana dia mempersoalkan tahap kredibiliti pihak pengurusan selaku tuan rumah.
"Kenapa sewa lori berbumbung kanvas. Kenapa di Malaysia, tiada lori berbumbung besi dan mempunyai dua pintu besi diselak kuncinya ke? Maaf ya, kurang bermutu pengurusannya macam tiada standard.
"Skuad Turkmenistan, Bahrain, Bangladesh kelayakan Piala Asia 2023. Aku rasa malu dan sedih. FAM,FAM,FAM," luah pengguna Facebook itu.
Dalam pada itu, ada juga penyokong yang berasa kecewa dengan layanan yang diberikan FAM terhadap pasukan lawan kerana perkara itu boleh menyebabkan berlaku persepsi buruk atau tanggapan negatif ke atas pengurusan skuad kebangsaan, sekali gus mendakwa badak induk itu tidak menjaga standard sebagai tuan rumah.
Namun, ada juga yang tidak bersetuju serta menganggap ia sengaja disensasikan warganet memandangkan lori kanvas itu hanya disediakan untuk mengangkut barangan dan peralatan, bukannya membawa barisan pemain dan panel kejurulatihan ketiga-tiga pasukan berkenaan menuju ke destinasi penginapan masing-masing.
Malah pada masa sama, ada juga netizen yang menyifatkan ia sebagai bermulanya 'perang psikologi' tuan rumah, sama seperti mana yang dihadapi skuad kebangsaan ketika beraksi di tempat lawan, contohnya ketika terpaksa diarak menaiki kereta perisai Barracuda semasa final Piala AFF 2010 dan perlawanan akhir temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan FAM berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram