Orang bukan Islam berpuasa, berhijab tanda solidariti menentang Islamofobia


  • Benua
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Kate Stables antara salah seorang selebriti yang turut mengambil bahagian dalam cabaran itu. — Instagram/Kate Stables

SEBILANGAN orang bukan Islam di seluruh dunia mengambil bahagian dalam dua jenis cabaran Ramadan bagi menunjukkan solidariti bersama umat Islam untuk menentang Islamofobia yang semakin meningkat.

Beberapa individu dari lebih 25 negara mengambil bahagian dalam program Fast For Unity (Puasa Untuk Perpaduan) dan 30-Day Ramadan Hijab Challenge (Cabaran Hijab Ramadan 30 Hari), yang diadakan secara tahunan anjuran Pertubuhan Hari Hijab Sedunia.

Menurut pertubuhan itu, melalui cabaran berpuasa tersebut, orang bukan Islam dijemput untuk mencuba pengalaman berpuasa untuk merasai bagaimana umat Islam berpuasa serta bermuhasabah serta mendisiplinkan diri, juga mengambil pendirian menetang Islamofobia.

Penyanyi Britain, Kate Stables adalah salah seorang selebriti yang turut mengambil bahagian dalam cabaran itu.

Menurutnya, ini adalah tahun kedua dia mengambil bahagian.

“Saya dapati banyak yang perlu dipelajari termasuk untuk 'menukar gear' sepenuhnya selama sebulan dan meluangkan masa untuk memikirkan apa yang saya lakukan dan bagaimana saya melakukannya, dan juga dunia serta orang di sekeliling saya.

“Dan seperti namanya, #FastForUnity adalah satu inisiatif untuk menghapuskan Islamofobia, dan menyertai kami dalam satu komuniti tanpa mengira agama atau perbezaan. Lebih banyak empati dan penerimaan,” katanya

Selain itu, cabaran berhijab, yang juga dikenali sebagai #Hijab30, dilancarkan pada 2014. Ia menjemput wanita dari semua latar belakang untuk memakai hijab selama 30 hari bagi mengambil pendirian menamatkan diskriminasi terhadap wanita berhijab dan menghormati pilihan setiap individu.

Organisasi di sebalik cabaran itu berpangkalan di New York dan diasaskan pada 2013. Ia menganjurkan Hari Hijab Sedunia pada 1 Februari setiap tahun, sebagai pengiktirafan kepada berjuta-juta wanita Islam yang memilih untuk memakai hijab, serta beberapa beberapa inisiatif lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram