USIA perkahwinan minimum di England dan Wales akan dinaikkan kepada 18 tahun selepas pindaan terhadap rang undang-undang dipersetujui tanpa bantahan di Parlimen.
Rang undang-undang yang dikemukakan tahun lalu oleh Ahli Parlimen Konservatif, Pauline Latham, akan menerima Perkenan Diraja dan menjadi undang-undang hujung minggu ini.
Orang ramai sebelum ini boleh berkahwin pada usia 16 atau 17 tahun jika mereka mendapat persetujuan ibu bapa tetapi menteri mahu mengubah undang-undang dalam usaha untuk menghalang pengantin kanak-kanak dipaksa untuk berkahwin.
Hukuman penjara tujuh tahun
Undang-undang baharu menjadikan perkahwinan di bawah had minimun sebagai satu kesalahan dan terpakai kepada kedua-dua perkahwinan berdaftar dan acara istiadat tidak berdaftar.
Orang dewasa yang memudahkan perkahwinan bagi sesiapa di bawah umur 18 tahun boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Kesalahan itu akan dikenakan ke atas perkahwinan "sama ada atau tidak dijalankan di England dan Wales", bermakna ia masih menjadi kesalahan untuk membawa kanak-kanak keluar dari negara itu dengan niat untuk melangsungkan perkahwinan.
Bercakap kepada media tahun lalu mengenai undang-undang itu Canselor dan Setiausaha Negara bagi Keadilan, Dominic Raab, berkata, perkahwinan kanak-kanak secara paksa merosakkan kehidupan mereka.
Beliau menambah bahawa rang undang-undang itu akan memastikan golongan muda lebih selamat, dengan menaikkan umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun, serta menutup jurang dalam undang-undang yang menyebabkan mereka berisiko.
Menamatkan perkahwinan kanak-kanak
Menulis di Twitter, Payzee Malika, yang dipaksa berkahwin pada usia 16 tahun, meraikan berita itu.
Dia mengakui selama ini "bergelut untuk menyuarakan tentang perkara itu."
Kakak Malika, Banaz Mahmod, dibunuh pada 2006 kerana dia menamatkan perkahwinan paksa yang kejam dan menyeksakan.
"Ini untuk saya, untuk Banaz, untuk mana-mana kanak-kanak yang terjejas akibat perkahwinan kanak-kanak", tambahnya.
Sementara itu, Latham berkata dia teruja kerana rang undang-undang itu "dalam perjalanan untuk menjadi undang-undang," lapor laman berita.
Ahli Parlimen Tory itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong kempen untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak buat selamanya di negara ini.
Sempadan Utara
Undang-undang baharu tidak menjejaskan perkahwinan atau perkongsian sivil yang berlaku sebelum undang-undang ini dikuatkuasakan dan ia juga tidak terpakai di Ireland Utara atau Scotland, di mana penduduk di sana masih boleh berkahwin pada usia 16 tahun.
Undang-undang perkahwinan paksa yang berasingan, yang diperkenalkan pada 2014, menjadikannya satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Ia bertujuan untuk memaksa seseorang dari sebarang umur berkahwin di luar kehendaknya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram