Kejar keberkatan Ramadan, peniaga sayur rela turunkan harga jualan


  • Benua
  • Khamis, 28 Apr 2022

Muhammad merupakan satu-satunya penjual sayur-sayuran terkenal di Pakistan yang menjual sayur pada harga yang rendah. — Agensi

PELANGGAN yang masuk ke kedai sayur Sultan Muhammad di Quetta, Pakistan dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka berpuasa sepanjang hari dalam keadaan cuaca panas terik di bandar itu.

Tetapi ada kelegaan yang tidak dijangka apabila mereka mengira wang untuk membayar barang yang dibeli, harganya lebih murah daripada biasa.

Semasa Ramadan, apabila umat Islam di seluruh dunia berkumpul bersama rakan dan keluarga ketika berbuka puasa, peniaga runcit di seluruh Pakistan akan mengambil kesempatan menaikkan harga buah-buahan dan sayur-sayuran.

Bagaimanapun, Muhammad melakukan sebaliknya. Dia menurunkan harga sekurang-kurangnya 10 peratus.

Dia adalah satu-satunya penjual sayur-sayuran terkenal di Pakistan yang berbuat demikian.

"Di mana orang menganggap Ramadan sebagai musim pendapatan, saya percaya ia adalah musim kebaikan juga," kata Muhammad kepada media ketika ditemui di kedainya di pasar sayur Sabzi Mandi yang bersejarah di ibu kota wilayah Balochistan barat daya Pakistan.

“Selama 11 bulan, kami mengejar keuntungan. Apa (salahnya) jika kita melepaskan wang tambahan hanya untuk satu bulan?” ujar lelaki berusia 40 tahun itu, yang mengusahakan kedai yang dibuka oleh datuknya enam dekad lalu.

Harga barangan telah ditetapkan di Pakistan, tetapi ramai penjual tidak mematuhi peraturan dan mengenakan bayaran lebih tinggi kepada orang ramai, kerana mereka juga telah dibebani oleh peningkatan kos pengangkutan dan inflasi yang melambung tinggi.

Namun, pelanggan menganggapnya sebagai alasan yang lemah.

Maula Dad Kakar, yang membeli sayur-sayuran di kedai Muhammad berkata, di Eropah dan negara-negara Teluk harga makanan lebih rendah adalah perkara biasa semasa perayaan Muslim, tetapi di Pakistan penjual melakukan sebaliknya.

“Kerajaan wilayah dan Jawatankuasa Kawalan Harga harus mengambil langkah tegas terhadap peniaga yang seolah-olah merompak orang miskin sepanjang Ramadan,” katanya.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk melakukannya. Jawatankuasa Kawalan Harga Balochistan telah menutup lebih 100 kedai di wilayah itu sepanjang dua minggu pertama Ramadan kerana melanggar senarai harga kerajaan.

Dan di samping langkah menghukum, mereka juga cuba menggalakkan peniaga untuk bersikap pemurah. Farah Azeem Shah, jurucakap kerajaan Balochistan, memberitahu media bahawa usaha Muhammad turut diberi perhatian.

"Timbalan pesuruhjaya telah melawat kedai Muhammad minggu lalu dan menunjukkan penghargaannya atas inisiatifnya.

"Kerajaan wilayah akan terus menyokong pemilik kedai menjual makanan yang boleh dimakan pada kadar murah dan menetapkan contoh baik dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menurut senarai harga kerajaan yang terpampang di kedai Muhammad, limau dijual dengan harga 780 rupee (RM17.44) sekilogram. Muhammad menjualnya dengan harga Rs700 (RM16.39). Harga tetap tomato ialah 60 rupee (RM1.40) sekilogram, tetapi dia menjualnya dengan harga 50 rupee (RM1.17).

Faqeer Muhammad, seorang pesara pekerja kereta api berusia 62 tahun, telah membeli sayur-sayuran daripadanya sejak 15 tahun lalu.

"Terdapat orang yang jarang ditemui di Quetta seperti Haji Sultan, yang tahu makna dan kewajipan Ramadan sebenar," katanya kepada media.

Bagi penjual sayur itu pula dia mengaku sebagai seorang Muslim tentu sekali percaya bahawa Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan.

“Daripada menimbulkan masalah (tambahan), kita harus memberikan keselesaan dan kelegaan kepada orang lain,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram