KETUA perubatan sukan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace iaitu Dr Zaf Iqbal memuji tahap kesedaran yang semakin baik dan langkah diambil oleh badan pengelola liga itu, semua kelab terbabit serta pengadil membantu pemain yang menjalani ibadah puasa tahun ini.
Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Islam dan umat Islam wajib menjalani ibadah puasa selama sebulan.
Dijangkakan Ramadan pada tahun mendatang akan tiba ketika saingan EPL masih berlangsung dan tahun ini, para pengadil sekali lagi membenarkan para pemain berehat seketika bagi memberi peluang untuk mereka berbuka puasa.
"Sudah tentu, kesedaran tentang Ramadan semakin baik.
"Saya senang melihat pengurus, jurulatih dan kakitangan lebih memahami kepercayaan masyarakat lain dan bertolak ansur tidak baik.
"Ia hanya membawa kepada persefahaman, penghargaan dan keharmonian yang lebih baik dalam sesebuah pasukan," kata Zaf.
Musim lalu, buat julung kalinya, perlawanan EPL dihentikan seketika bagi memberi peluang untuk para pemain berbuka puasa.
Ketika pertemuan antara Palace dan Leicester City pada 26 April 2021, pengadil iaitu Graham Scott membenarkan perlawanan dihentikan seketika supaya Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate boleh berbuka puasa.
Fofana mengucapkan terima kasih kerana membenarkan dia berbuka puasa ketika perlawanan bertemu Crystal Palace musim lalu. — Facebook
Pendidikan berhubung Ramadan sudah berlaku sejak itu dan EPL memberikan sokongan untuk membenarkan perlawanan dihentikan seketika sekiranya dimaklumkan sebelum sepak mula.
Malahan, Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional UK baru-baru ini menghantar kakitangannya menghadiri bengkel untuk meningkatkan pemahaman tentang Ramadan.
Awal bulan ini, pemain Everton, Abdoulaye Doucoure dibenarkan berbuka puasa ketika pasukannya bertemu Burnley.
Ujar Dr Zaf, langkah untuk menyusun semula jadual perlawanan ketika Ramadan adalah sesuatu yang sukar.
"Sebenarnya beraksi dalam perlawanan pada waktu siang adalah paling mencabar kerana jika seseorang pemain berpuasa, maka mereka perlu menunggu sehingga matahari terbenam sebelum boleh makan atau minum.
“Saya tidak fikir mana-mana pemain beragama Islam akan mengharapkan UK (United Kingdom) menukar jadual perlawanan seperti yang mereka lakukan di beberapa negara Islam.
"Saya rasa pemain beragama Islam lebih bersyukur kerana mereka boleh berpuasa tanpa menyembunyikannya dan keperluan mereka dipenuhi," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram