Berang tak dapat beli ekzos, pelajar disimbah petrol sebelum dibakar hidup-hidup


  • Benua
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Badan suspek melecur 80 peratus selepas disimbah minyak petrol oleh rakan-rakannya. — Gambar hiasan

MALANG menimpa seorang pelajar apabila cedera parah selepas dibakar oleh tiga rakannya di Mergangsan, dekat Yogyakarta, Indonesia.

Ketua Polis Mergangsan, Kompol Rachmadiwanto berkata, motif penganiayaan terhadap Dimas Toti Putra, 21, berkait rapat dengan urusan jual beli eksos.

Beliau berkata, suspek menenui mangsa untuk membeli ekzos, namun ia sudah dijual kepada pembeli yang menawarkan harga lebih tinggi.

"Suspek ada membuat tawar-menawar dan harga juga sudah dipersetujui. Namun, ada rakan lain yang menawarkan harga lebih tinggi.

"Apabila suspek menemui mangsa, ekzos tersebut sudah dijual lalu dia naik darah," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Berdasarkan keterangan saksi, salah seorang suspek menyimbah minyak petrol ke atas badan mangsa. Namun, polis masih belum menemui sebarang petunjuk cara mangsa dibakar.

"Ya, dia (suspek) menuang petrol manakala mangsa masih belum boleh disoal siasat lagi," katanya.

Kejadian tersebut berlaku di rumah mangsa pada 23 Mac lalu dan mangsa perlu mendapatkan rawatan rapi Hospital Dr Sardjito.

Sementara itu, ibu mangsa dikenali sebagai Haniyati menjelaskan, ketika kejadian, rumah mereka sunyi kerana dia dan suaminya sedang berniaga di Jalan Tamansiswa, Yogyakarta.

"Kejadian itu berlaku di dalam bilik tingkat atas rumah kami," katanya.

Ketika kejadian itu, Dimas bertemu rakannya, Febriansyah kira-kira pukul 10 malam.

"Selepas itu, tiga rakan Dimas yang tidak dikenali Febriansyah tiba. Tiba-tiba Febriansyah memberitahu saya bahawa Dimas dibakar oleh rakannya. Febriansyah menenangkan saya apabila tiba di rumah," katanya.

Disebabkan Febriansyah tidak mengenali ketiga-tiga sahabat Dimas, dia memutuskan untuk keluar dari rumah.

"Dia (suspek) membakarnya dengan menyiram minyak petrol sebelum menyalakannya," kata Haniyati.

Tambahnya, Dimas sempat mengejar ketiga-tiga suspek namun, dengan kecederaannya yang dialami, mereka tidak berjaya ditangkap.

"Selepas kejadian itu, bapanya terus membawanya ke Hospital Pratama Yogyakarta. Malam itu juga Dimas segera dirujuk ke Hospital Dr Sardjito. 80 peratus badannya melecur termasuk di leher dan tangan. Semalam (Khamis) dia juga menjalani pembedahan," katanya.

Disebabkan kesan melecur yang teruk, katanya, kos rawatan menjadi mahal.

"Saya sudah menyertai Yayasan Kita Bisa. Jadi, saya rasa harga boleh diturunkan hingga Rp230 juta (RM68,930)," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram