MENGALAMI kemurungan akibat masalah kewangan dan kecurangan, seorang lelaki nekad membunuh isteri dan anaknya di Kampung Baru, dekat Kabupaten Serang, Indonesia.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Serang, Asisten Komisioner Dedi Mirza yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek yang dikenali sebagai Supriadi membunuh Tumijem dan anak mereka yang masih belajar di sekolah rendah pada 8 April lalu.
Dedi berkata, suspek kini berada dalam tahanan pihak polis.
"Ya, ada dua yang terkorban iaitu isteri suspek dan anak mereka yang berusia sembilan tahun," katanya.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk sesi pengecaman mayat.
Pada masa sama, Dedi berkata, suspek mengaku bahawa motif pembunuhan disebabkan dia berhutang dan terdapat isu kecurangan.
"Pertama adalah tekanan ekonomi. Ada bisikan dari dalam yang menghasutnya tentang hubungan sulit.
"Bagaimanapun, kita masih perlu siasat siapa yang dimaksudkan, sama ada berdasarkan fakta atau hanya ilusi suspek," katanya.
Polis akan menguji kesahihan pengakuan suspek dengan meminta kerjasama seorang pakar psikologi, Dr Dradjat Prawiranegara.
Selain itu, salah seorang saksi mendakwa, suspek dan isterinya dianggap serasi dalam perkahwinan mereka.
Malah, saksi berkata, dia tidak pernah mendengar sebarang pergaduhan antara suspek dan isterinya selain keluarga itu dianggap senang dari segi kewangan.
Ketika malam pembunuhan itu, kedua-dua mangsa sedang tidur dan isterinya sempat bergelut dengan suspek sebelum dibunuh.
Anak pertama mereka terselamat kerana tidur di bilik berasingan, namun sempat menyaksikan kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram