DUA beradik yang sebelum ini keluar dari rumah di Felda Pasoh 1 di Jelebu, Negeri Sembilan sejak 27 Mac lepas sudah pulang ke pangkuan keluarga pada Sabtu.
Nurul Fatihah Balqis Musli, 14, dan Nurul Amira Musli, 19, keluar dari rumah dipercayai mengikut teman lelaki selepas dimarahi sehari sebelum itu.
Ibunya, Saodah Salleh, 44, berkata, kedua-dua anaknya itu didakwa dihantar oleh orang awam ke Balai Polis Beranang, Selangor pada tengah malam Sabtu.
"Mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu dengan kereta polis kira-kira jam 2.30 pagi sebelum di bawa ke Hospital Jelebu untuk pemeriksaan kesihatan.
"Syukur kedua-duanya tidak didera atau menjadi mangsa gangguan seksual," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Saodah memberitahu terpaksa membuat keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan pada Rabu lalu kerana terlalu tertekan memikirkan kedua-dua anaknya itu selain trauma bimbang kejadian sama berulang.
"Biarlah ayahnya sahaja yang bekerja, saya akan pantau anak-anak selepas ini," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri di Felda Pasoh 1 di Jelebu bimbang keselamatan dua anak perempuan mereka yang tidak pulang ke rumah sejak 27 Mac lalu.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kedua-dua anaknya itu namun masih belum dapat dijejaki sehingga mereka membuat laporan polis dan hebahan di media sosial. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram