Sejarah tercipta lagi di Royal Albert Hall, penduduk pelbagai agama meriahkan Open Iftar


  • Benua
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Omar (baju hitam) mahu membawa tradisi iftar untuk dikongsi komuniti di London dan UK. — Agensi

RATUSAN umat Islam mencipta sejarah apabila mengadakan majlis iftar di hadapan bangunan Royal Albert Hall di London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Pada Rabu (13 April), kira-kira 500 orang Muslim dan bukan Muslim berkumpul bersama-sama dalam satu majlis yang dianjurkan oleh badan kebajikan, Ramadan Tent Project (RTP).

RTP menganjurkan acara yang dipanggil sebagai Open Iftar.

Projek tersebut diadakan di seluruh UK, bertujuan untuk menyatukan umat Islam dan bukan Muslim bagi bersama-sama berbuka puasa dengan juadah percuma yang disediakan.

Pada acara di Royal Albert Hall itu, hidangan seperti kurma, air dan nasi briyani disediakan untuk para pengunjung.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Kebajikan itu, Omar Salha, sejak inisiatif itu dilancarkan hampir 10 tahun lalu, Open Iftar sudah menyatukan lebih 350,000 orang dan menyediakan lebih 150,000 juadah.

"Saya mahu mewujudkan satu ruang yang khusus untuk umat Islam di UK ketika Ramadan.

"Di kebanyakan negara majoritinya Islam, orang ramai berkumpul dan berkongsi makanan bersama-sama.

"Jadi kami mahu membawa tradisi itu untuk dikongsi bersama orang ramai di London dan UK," katanya.

Screenshot 2022-04-15 215135

Antara pengunjung yang hadir pada acara tersebut. — Agensi

Tambah Omar, acara Open Iftar itu akan berlangsung sepanjang Ramadan (sehingga 30 April) di beberapa lokasi ikonik seperti Stadium Wembley, British Library dan Trafalgar Square.

Sementara itu, seorang pengunjung, Sara Taleghani berkata, adalah penting untuk orang ramai bertemu masyarakat Muslim di Britain kerana masih wujud sentimen Islamofobia dalam kalangan rakyat negara itu.

"Jadi, sangat bagus untuk mereka duduk bersama kami, mengenali kami dan mempelajari lebih banyak lagi tentang Ramadan dan Islam," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram