BAGI mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ketika hampir waktu iftar, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengarahkan pemandu agar memperlahankan kenderaan dan lebih berhati-hati sewaktu memandu menjelang waktu tersebut.
Menurut pengarah Jabatan Trafik, Saif Muhair al-Mazroui, kebanyakan kemalangan dan kesalahan jalan raya berlaku beberapa minit sebelum iftar kerana pemandu tergesa-gesa pulang ke rumah untuk berbuka puasa.
"Ramai pemandu ingin sampai ke rumah mereka sebelum iftar dan disebabkan itu, mereka melakukan banyak kesalahan lalu lintas seperti memandu laju, melanggar lampu merah, memotong dan menyebabkan kemalangan.
"Kebanyakan kemalangan jalan raya pada bulan Ramadan berlaku sejurus sebelum iftar," katanya.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku sebelum iftar di Dubai. — Gambar hiasan
Selain itu, polis Dubai dengan kerjasama badan kebajikan turut melancarkan inisiatif mengagihkan 7,000 juadah berbuka puasa kepada pemandu kenderaan sebelum iftar setiap hari bagi membantu mengelakkan kemalangan jalan raya.
Polis Dubai memilih lokasi di persimpangan jalan yang sesak untuk mengagihkan makanan kepada pemandu dengan bantuan sukarelawan.
"Ini adalah sebahagian daripada kempen kesedaran kami yang meliputi aktiviti serta inisiatif demi kekal selamat bulan Ramadan.
"Para anggota polis dan sukarelawan akan mengagihkan makanan kepada pemandu beberapa minit sebelum iftar bagi menggalakkan mereka memandu secara perlahan dan tidak melebihi had laju untuk pulang ke rumah," menurutnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram