KEMATIAN seorang warga emas dikenali sebagai Yunani, 63, di Desa Jabon, Kecamatan Banyakan, Kabupaten Kediri, Jawa Timur, Indonesia heboh diperkatakan.
Ini kerana wanita itu dikatakan menjadi mangsa pembunuhan berikutan terdapat luka-luka di bahagian badannya selain ditemui dalam keadaan separuh bogel.
Mayat Yunani yang tinggal seorang diri ditemukan salah seorang jiran tetangga yang menghantar lauk kenduri pada Jumaat lalu (25 Mac 2022).
Pada masa itu, jirannya mendapati rumah Yunani dalam keadaan sunyi lalu dia mengambil inisiatif untuk membuka pintu hadapan sebelum mendapati wanita tersebut terbaring dalam keadaan separuh bogel.
Penduduk kampung kemudiannya membuat laporan kepada ketua kampung sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Berdasarkan pemeriksaan awal, polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher dan mayat itu kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Hasil autopsi kemudian mendedahkan bahawa luka di leher itu bukanlah akibat tercekik.
"Luka itu juga bukan punca kematian mangsa. Ia luka lama, bukan luka baharu. Jika luka tercekik biasanya menembusi rongga pernafasan, jika tidak, itu luka luar," kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Kediri, Inspektor Henry Mudi Yuwono seperti dipetik Kompas.com pada Isnin.
Selain itu, kata Henry, hasil pemeriksaan juga tidak menemui sebarang tanda-tanda keganasan seksual terhadap mangsa.
"Jadi kesimpulannya, kematiannya bukan disebabkan oleh pembunuhan, tetapi kerana penyakit jantung yang dihidapinya," katanya.
Menurutnya lagi, punca kematian mangsa disifatkan munasabah dan tiada kaitan dengan jenayah.
"Jenazah nenek itu juga telah dikembalikan kepada keluarganya untuk dikebumikan," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram