KES dera tidak kira peringkat umur semakin menjadi-jadi akibat nafsu amarah manusia tidak bertanggungjawab.
Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa apabila dikurung dan didera di Depok, dekat Jawa Barat, Indonesia.
Mangsa yang berasal dari Bojong Gede, Kabupaten Bogor itu didera oleh rakan sebayanya di sebuah pangsapuri di Jakarta Pusat.
Bukan itu sahaja, mangsa juga didakwa terlibat dalam kegiatan pelacuran dan seorang suspek ditahan pihak polis susulan kes tersebut.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Depok, Yogen Heroes Baruno berkata, kes itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan mengenai mangsa yang cedera parah dan dirawat di sebuah hospital.
"Pada mulanya, kami menerima laporan mangsa diculik dan diseksa," katanya.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya. Selain lebam, terdapat juga kesan melecur di badan mangsa akibat dicucuh dengan puntung rokok.
"Mangsa cedera ringan, melecur akibat rokok, lebam di muka dan badan, kemudian kami cuba menyiasat apa sebenarnya berlaku kepada mangsa," katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram