Bachok, Tok Bali, Pasir Puteh antara ‘hotspot’ mudah terbakar musim kemarau


  • 112
  • Isnin, 28 Mac 2022

BEBERAPA kawasan seperti hutan dan tanah gambut di Kelantan berisiko terbakar apabila musim kemarau melanda negeri tu. — The Star

JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan mengenal pasti beberapa kawasan seperti hutan dan tanah gambut yang akan berlakunya kebakaran apabila musim kemarau di negeri tu.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, lebih 1,000 pegawai dan anggota berada dalam siap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut di kawasan berkenaan.

"Antara kawasan yang dikenal pasti ialah tanah gambut dan kawasan tanah lapang (lalang) di Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh dan kita terpaksa mengambil masa lama untuk mengawal kebakaran itu ketika musim kemarau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadari Majlis Aprisiasi JBPM-Media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan dekat Tunjong, di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, dengan kekuatan anggota dan logistik yang ada, pihaknya mampu menangani kebakaran di negeri itu selain bekerjasama dengan beberapa agensi bencana yang lain.

"Kita telah mengadakan bengkel untuk pengurusan kebakaran tanah gambut dengan Jabatan Alam Sekitar yang kerap berlaku ketika musim kemarau selain memantau keadaan cuaca berdasarkan maklumat disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Malah, semua aset logistik berkaitan seperti pengangkutan, sistem pam dan sumber air turut dipastikan dalam keadaan baik selain dron dan helikopter bagi memantau lokasi yang berlaku kebakaran dari udara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, sepanjang Januari sehingga Ahad, pihaknya menerima 1,529 panggilan kecemasan melibatkan 275 panggilan kebakaran, 406 panggilan penyelamatan dan 847 panggilan tugas-tugas khas dengan kerugian berjumlah RM 76 juta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram