Mayat pelatih AMD ditemukan dalam penyedut pasir


  • 112
  • Khamis, 24 Mac 2022

MANGSA merupakan pelatih akademi AMD untuk pasukan B-14. — Facebook FAM

MAYAT pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan petang Khamis selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak Rabu.

Menurut Pemangku Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II, Rahimi Ali, mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau, Yan, Kedah kira-kira 5.46 petang.

"Mayat mangsa ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada Rabu.

"Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, Kedah kira-kira 1 tengah hari.

Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk Bawah 14 tahun (B-14) itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19 hingga 27 Mac ini.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat pada Khamis disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi.

"Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

"Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di persisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” jelasnya.

Ujarnya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram