SATU salinan komik Marvel mencatat sejarah apabila dijual dengan harga AS$2.4 juta (RM10.1 juta) dalam satu sesi lelongan.
Marvel Comics No.1, yang diterbitkan pada tahun 1939, merupakan salinan yang jarang ditemui dan sangat bernilai kerana ia dikenali sebagai salinan berbayar, di mana penerbit merekodkan pembayaran yang dilakukan kepada pelukis.
Menurut laman lelongan, ComicConnect, komik tersebut menampilkan watak pertama Namor the Sub-Mariner dan Human Torch yang merupakan watak terdahulu kepada adiwira yang terkenal daripada siri Fantastic Four.
Ketua eksekutif ComicConnect, Stephen Fishler enggan mendedahkan nama pembeli salinan tersebut, tetapi menurutnya, pemenang lelongan itu ialah seorang pengumpul komik lama berusia dalam lingkungan 40-an yang tinggal di luar Amerika Syarikat.
Salinan itu telah bertukar tangan beberapa kali sejak ia ditemui dalam kabinet pemfailan pada 1990-an. Pada tahun 2003, salinan itu pernah dijual pada harga $350,000 (RM1.47 juta), menurut itsjustallcomics.com.
Menurut Fishler, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga salinan komik lama telah melambung tinggi dan mungkin menjadi lebih berharga apabila semakin banyak komik diadaptasi ke layar perak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram