Ajal serentak, empat mati direnjat elektrik ketika mandikan bayi


  • Benua
  • Selasa, 22 Mac 2022

LOKASI rumah yang menyaksikan tiga sekeluarga dan pengasuh maut akibat terkena renjatan elektrik. — Agensi

BAPA, ibu, anak dan seorang pengasuh ditemukan maut di dalam bilik air selepas terkena renjatan elektrik yang berpunca daripada pemanas air.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Jalan Pulomas Barat 12, Jakarta Timur, Indonesia kira-kira pukul 4 petang pada 20 Mac lalu.

Mereka yang maut ialah bayi berusia 11 bulan, bapanya (37), ibu (29) dan pengasuh yang turut maut dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Pulogadung, David Ricardo berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, ibu dan bayi tersebut sedang berada di dalam bilik air.

"Tangan kanak-kanak itu terpegang alat pemanas air yang kemudian mengalirkan arus elektrik kepadanya dan ibunya.

"Jeritan ibu bayi itu didengari oleh pengasuh yang kemudian cuba menyelamatkan mereka namun turut terkena renjatan elektrik.

"Suaminya yang juga mendengar jeritan itu kemudian cuba menarik isterinya dan terus maut akibat terkena aliran elektrik," katanya.

Menurut Ricardo, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kejadian untuk memastikan tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram