Konflik Rusia-Ukraine beri kelebihan kerajaan tambah subsidi bahan api


  • Primer
  • Ahad, 06 Mac 2022

KENAIKAN harga minyak mentah dunia ketika ini akan turut memberi tempias kepada harga barangan lain khususnya yang diimport seperti gandum dan jagung.

HARGA minyak mentah dunia yang melonjak akibat konflik Rusia-Ukraine memberi kelebihan kepada kerajaan untuk terus menyediakan subsidi bahan api.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau bagaimanapun mengakui kenaikan harga minyak mentah dunia ketika ini akan turut memberi tempias kepada harga barangan lain khususnya yang diimport seperti gandum dan jagung.

Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi itu yang sudah pasti memberi cabaran kepada pengurusan kewangan negara.

"(Kenaikan harga minyak) akan meningkatkan hasil tetapi sebahagian hasil itu perlu disalurkan ke tempat lain, perkiraan belum dibuat... ketika ini cuma bergantung kepada andaian.

"Sebahagian peningkatan itu pula akan digunakan untuk membayar tambahan subsidi petrol dan diesel,” katanya pada Ahad.

Mustapa juga berkata proses pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dijangka berlaku lebih cepat berikutan pembukaan semula sempadan negara tidak lama lagi.

Beliau berkata, perkara itu pastinya amat dinanti-nantikan oleh semua pihak terutama sektor pelancongan yang amat terkesan sejak Covid-19 menyerang negara sehingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada pertengahan Mac 2020.

"Selagi sempadan antarabangsa tidak dibuka, agak sukar untuk ekonomi negara pulih sepenuhnya... jadi antara prasyarat pemulihan ekonomi ialah pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram