Tiada lagi ujian saringan Covid-19 untuk pelancong domestik


  • Benua
  • Selasa, 08 Mac 2022

PENGEMBARA yang menggunakan pengangkutan udara, laut atau darat yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tidak lagi perlu menunjukkan keputusan ujian antigen pantas atau PCR negatif. — Agensi

INDONESIA bakal memansuhkan ujian saringan tindak balas rantai polimerase (PCR) dan ujian antigen pantas untuk pengembara domestik yang lengkap vaksinasi Covid-19.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, di bawah peraturan baharu itu, pengembara yang menggunakan pengangkutan udara, laut atau darat yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tidak lagi perlu menunjukkan keputusan ujian antigen pantas atau PCR negatif.

"Buat masa ini, sebelum berlepas, pengembara wajib menunjukkan bukti keputusan ujian PCR negatif yang diperoleh dalam masa 48 jam atau ujian antigen pantas negatif yang diperoleh dalam masa 24 jam," katanya.

Menurut Luhut Binsar, kementerian dan agensi berkaitan akan mengeluarkan peraturan berhubung perubahan itu dalam masa terdekat.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Indonesia untuk beralih daripada aktiviti pandemik kepada aktiviti biasa, sambil mengurangkan kos serta kerumitan perjalanan domestik.

Keputusan itu dibuat sehari selepas Indonesia memulakan visa semasa ketibaan ke Bali untuk pelancong dari 23 negara, termasuk Malaysia.

Pelancong juga boleh memasuki kawasan lain di negara ini selepas empat hari tinggal di Bali, ia sekali gus dapat membantu merancakkan semula sektor pelancongan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram